1,500 Dijangka Dapat Manfaat Tabung Darul Iman
Written By aku on Monday 25 January 2016 | 7:21 am
Kerajaan negeri menjangkakan sekurang-kurangnya lebih 1,500 rakyat Terengganu akan mendapat manfaaat hasil penubuhan Pejabat Sekretariat Tabung Darul Iman pada 20 Januari lalu dalam tempoh setahun.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof, berkata pihaknya tidak dapat menganggarkan peruntukan bagi tujuan itu kerana setiap kelulusan bergantung kepada kategori permohonan.
“Peruntukan dari kerajaan negeri akan ditambah ke dalam tabung itu dari semasa ke semasa. Selain mendapat dana tambahan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sebanyak RM5.1 juta.
“Kerajaan negeri juga sedang berusaha bekerjasama dengan mana-mana syarikat berkaitan kerajaan, syarikat swasta dan orang persendirian yang berminat untuk menyalurkan dana,” katanya ketika dihubungi teganukita, hari ini.
Katanya terdapat dua jenis bantuan yang disediakan iaitu ditimpa musibah seperti ribut, kebakaran, serangan haiwan liar atau penyakit terhadap ternakan atau tanaman.
“Selain itu, bagi pemohon yang ditimpa penyakit kronik, bantuan pembedahan yang memerlukan anggota badan palsu dan pembelian ubat-ubatan yang tiada dalam senarai Kementerian Kesihatan layak dipertimbangkan.
“Jenis bukan bantuan perubatan pula seperti bantuan sara diri tahunan dan bantuan lampin serta susu, juga layak dipohon,” katanya.
Menurutnya, syarat kelayakan, pemohon mestilah rakyat Terengganu atau bermastautin di negeri ini sekurang-kurangnya 10 tahun.
“Diingatkan mana-mana pemohon yang dilindungi insurans perubatan, tidak layak membuat permohonan.
“Tabung Darul Iman merupakan penggabungan daripada tiga tabung sedia ada iaitu Tabung Darul Iman, Tabung Bantuan Penyakit Kronik dan Dana Kebajikan Sosial Perubatan,” katanya.