500 nelayan tolak cadangan tebus guna tanah
Written By aku on Monday 25 January 2016 | 8:46 am
PULAU PINANG 24 Jan. – Sesi taklimat penerangan Pelan Induk Pengangkutan negeri dan cadangan projek tebus guna tanah membabitkan kawasan laut di sekitar Permatang Damar Laut yang diadakan di Dewan Mutiara Kompleks Tabung Haji, Bayan Lepas di sini, bertukar gamat apabila hampir 500 nelayan bangkit membantah.
Malah kehadiran Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan beberapa Exco kerajaan negeri ketika sesi taklimat itu dilihat gagal mendapat sokongan apabila cadangan tebus guna tanah membabitkan projek tersebut langsung tidak diterima nelayan yang hadir.
Rata-rata nelayan terbabit dengan tegas mahukan projek berkenaan dibatalkan dan kawasan laut yang menjadi lubuk rezeki mereka tidak diganggu dengan sebarang projek pembangunan yang akhirnya merugikan mereka.
Selain itu, tawaran pampasan sewajarnya yang dijanjikan Guan Eng ketika berucap dalam sesi taklimat terbabit juga tidak dipedulikan para nelayan terlibat yang tetap menolak projek tebus guba tanah tersebut.
Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang Selatan, Arshad Omar menegaskan, nelayan berkenaan sama sekali tidak menolak pembangunan tetapi projek yang ingin dilaksanakan kerajaan negeri itu hanya akan memberikan kesan terhadap kehidupan mereka.
Tegas beliau, kawasan tebus guna tanah laut yang dirancang kerajaan negeri itu adalah lubuk emas nelayan khususnya untuk mendapatkan hasil laut udang.
“Kawasan yang hendak digunakan itu adalah kawasan yang paling banyak hasil udang memandangkan keadaan permukaan tanah lautnya yang cantik, tenang dan tidak berombak.
“Bagaimana kami boleh terima sekiranya lubuk udang yang terletak tiga batu dari kawasan pantai ini akan menjadi korban apabila kerajaan negeri mahu membangunkan projek tebus guna tanah di setikar kawasan berkenaan. Apa akan jadi dengan periuk nasi kami nanti?,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat berkenaan.
Terdahulu dalam ucapannya ketika sesi taklimat terbabit, Guan Eng mengakui, projek tebus guna tanah itu bakal memberi kesan kepada hasil tangkapan nelayan tradisi tetapi kerajaan negeri akan berusaha memastikan pampasan sewajarnya diberikan kepada semua nelayan terlibat.
Arshad dalam pada itu mendesak kerajaan negeri tidak menjadikan nelayan di negeri ini sebagai korban melalui cadangan projek tambakan laut itu yang akan membentuk tiga pulau buatan.
Menurut beliau, ketiga-tiga pulau itu iaitu berkeluasan 809 hektar, 526 hektar, dan 324 hektar dibimbangi tidak akan memberi apa-apa keuntungan kepada golongan nelayan yang selepas ini bakal hilang punca pendapatan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/500-nelayan-tolak-cadangan-tebus-guna-tanah-1.183168#sthash.Rh0PJQFM.dpuf
Labels:
Politik