Home » » Bot tenggelam, pendapatan terjejas

Bot tenggelam, pendapatan terjejas

Written By aku on Wednesday 19 October 2016 | 12:14 pm

 Keadaan bot milik Ab Rani yang rosak teruk dan sudah tidak boleh dibaiki.

DUNGUN - Seorang nelayan hilang mata pencarian selepas bot miliknya tenggelam ketika ditinggalkan di Jeti Teluk Bidara, Seberang Pintasan, di sini, pada Mac lalu.

Ab Rani Ismail, 60, yang sudah berpengalaman lebih 40 tahun sebagai nelayan berkata, dia mengalami kerugian mencecah RM20,000.

Menurutnya, satu masalah besar baginya apabila tidak boleh keluar menangkap ikan dan punca pendapatan harian juga terputus.

"Saya terpaksa menumpang rakan-rakan nelayan lain untuk ke laut tetapi ia agak sukar kerana nasib tidak selalu menyebelahi saya.

“Kejadian ini sudah hampir lapan bulan berlaku dan kerja saya sebagai nelayan tidak dapat diteruskan seperti biasa kerana bot sudah musnah," katanya.

Ab Rani berkata, tambah merunsingkan ansuran bulanan bot itu perlu dibayar.

"Sebelum ini kena bayar RM300 sebulan tapi setelah berunding dengan pihak bank, saya hanya perlu bayar RM100 lebih sahaja.

"Tapi jumlah ni pun saya tak mampu bayar sebab tidak boleh turun ke laut. Ansuran ni pun dah tertunggak beberapa bulan," katanya.

Menurutnya, dia tidak menerima bantuan sara hidup nelayan kerana beberapa masalah dan kini lesen juga tidak boleh disambung.

“Saya masih mempunyai tanggungan keluarga dan keadaan ini memang amat membebankan saya,” katanya.

Kata Ab Rani lagi, dia sudah membuat laporan polis berhubung kejadian botnya yang tenggelam sebagai rujukan untuk membuat permohonan mendapatkan bantuan bot baharu tetapi masih tiada maklum balas positif.

“Saya sudah mohon bantuan dari beberapa pihak tetapi ia ditolak kerana mereka mengatakan kejadian berlaku disebabkan kecuaian sendiri.

“Memang agak kecewa kerana kita tidak duga kejadian seperti ini akan berlaku tetapi tiada apa dapat dilakukan.

“Terbaharu saya ada memohon bantuan bot dari Maidam dan memang sangat berharap ada berita gembira untuk saya kerana agak sukar untuk bekerja jika tiada kemudahan,” katanya.

Bagi yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh terus menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 11004-41-00006297-9 atas nama Ab Rani.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger