Seronok pula lihat orang agih jawatan: Tuan Ibrahim
Written By aku on Sunday 22 January 2017 | 10:11 pm
SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tidak dapat mengelak dari berkongsi rasa 'seronok' apabila beberapa parti pembangkang didakwa mula berbincang tentang pengagihan jawatan dalam kerajaan baharu.
Katanya, parti pembangkang mula membahagi jawatan sehingga tidak sedar untuk memelihara kepentingan pengundi di negara ini.
"Terkadang naik seronok juga bila memikirkan beberapa parti pembangkang sibuk nak agihkan jawatan dalam kerajaan baru nanti.
"Siapa nak jadi Perdana Menteri. Siapa pula nak jadi Timbalan Perdana Menteri. Dan siapa pula yang jadi Menteri Kewangan," sindirnya dalam kenyataan, semalam.
Menurut beliau, tanpa sedar, parti-parti pembangkang itu telah mengabaikan gerak kerja jentera parti untuk bersedia pada pilihan raya akan datang.
"Seronok berteori atas meja dan membahagi-bahagikan jawatan sama sendiri.
"Jentera parti tidak dipedulikan. Cawangan tak ada. Petugas parti tidak dibina, latihan dan kursus tidak diadakan," katanya lagi.
Menurut beliau lagi, pembangkang sepatutnya sedar yang mereka kini berdepan dengan kesukaran untuk memenangi hati pengundi.
Dengan pelbagai janji manis yang ditabur BN, kata Tuan Ibrahim lagi, pembangkang sepatutnya bekerja lebih kuat dalam usaha memenangi hati rakyat.
"Di waktu yang sama pelbagai "dedak" diumumkan oleh kerajaan untuk terus menggengam rakyat marhaim dan pengundi sasaran.
"Akhirnya, siapa yang akan dinobat oleh rakyat?" soalnya.
Cakap-cakap mengenai adanya pakatan sulit antara Bersatu dan DAP untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan jawatan timbalan perdana menteri kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang dinyatakan oleh bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Aziz Tunku Ibrahim pada 31 Disember tahun lalu.
Mengikut pakatan sulit itu, Kit Siang juga dikatakan akan menjadi menteri kewangan.
Tunku Aziz telah mencabar Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Kit Siang untuk membuat perakuan bersumpah menafikan tuduhannya.
Kit Siang bagaimanapun, menafikan bahawa DAP meminta jawatan timbalan perdana menteri jika pembangkang memenangi PRU14.
Labels:
Politik