Home » » Beriadah sambil cari lokan

Beriadah sambil cari lokan

Written By aku on Wednesday 26 July 2017 | 8:40 pm


BENTING LINTANG – Kawasan paya bakau berhampiran Sungai Benting Lintang, di sini pastinya menjadi destinasi pilihan bagi peminat lokan selain turut menjadi lokasi riadah hujung minggu bersama keluarga dan rakan.

Muhammad Abdullah, 39, berkata, lokasi itu menjadi salah satu pilihan keluarganya kerana mereka dapat melakukan aktiviti mencari lokan yang banyak ditemui di situ.

"Isteri, anak-anak dan saudara suka datang sini. Sambil berkelah boleh cari lokan.

"Hasil yang diperoleh boleh bawa balik dan dimasak dengan pelbagai menu atau dibakar," katanya ketika ditemui bersama ahli keluarganya ketika mencari lokan di situ.

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Kawah, Hulu Besut itu berkata, masa paling sesuai untuk mencari lokan adalah ketika air sungai surut kerana hidupan ini hidup di dalam lumpur dalam kawasan pokok bakau tepi sungai.

Menurutnya, ketika berkelah di kawasan yang turut ditumbuhi pokok rhu itu, isteri dan anak-anaknya pasti tidak melepaskan peluang mencari lokan kerana aktiviti itu menyeronokkan.

"Nak cari lokan kena gunai besi macam sabit. Perlu cakar dalam lumpur baru dapat jumpa lokan," katanya.

Muhammad berkata, terdapat banyak lokan di sini dengan pelbagai saiz sehinggakan ada pencari memperolehi puluhan ekor dalam kawasan seluas beberapa kaki persegi sahaja.

"Untuk keselamatan, saya suruh mereka semua pakai kasut getah," katanya.

Dapat lebih 5kg lokan dalam dua jam

Tambahnya, kebiasaannya dia mengambil masa dua hingga tiga jam setiap kali ke situ untuk mencari lokan dan dalam tempoh tersebut, mereka mampu memperoleh lima kilogram ke atas setiap orang.

"Selain dapat rapatkan hubungan kekeluargaan dan kawan-kawan, riadah macam ini juga dapat biasakan anak-anak dengan aktiviti lasak," katanya.

Katanya, selain hobi, ada juga dalam kalangan saudaranya yang menjadikan lokan sebagai sumber pendapatan sampingan terutama apabila memperoleh  hasil yang banyak dan selebihnya untuk dimakan sendiri

"Saiz lokan besar berkali ganda berbanding kerang menyebabkan beberapa biji lokan saja dah capai berat satu kilogram. Lokan dijual dekat kampung sekitar RM5 untuk dua kilogram.

"Kalau dekat kedai atau tepi jalan mungkin dijual dengan harga berbeza sebab itu punca pendapatan utama mereka," katanya.

Walau bagaimanapun katanya, lokan yang dikutip perlu dibiarkan selama sekurang-kurang satu malam supaya lumpur di dalam lokan itu dapat dikeluarkan.

"Kalau terus masak atau dibakar tetap boleh dimakan cuma rasanya kurang sedap sebab ada rasa payau akibat air atau lumpur yang ada dalam kulitnya," katanya.

Jelasnya, anak-anaknya suka makan lokan bakar kerana rasa masinnya yang asli selain saiz isinya lebih besar dari kerang.

"Kalau nak cari lokan dekat sini kena naik kereta pacuan empat roda atau motor sebab jalan berpasir," katanya
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger