Home » » Dipercayai Pengganas Sulu sedang rancang serangan kedua - Polis tingkat kawalan pantai Sabah

Dipercayai Pengganas Sulu sedang rancang serangan kedua - Polis tingkat kawalan pantai Sabah

Written By aku on Tuesday, 17 December 2013 | 9:18 am


Ops Cantas Khas, Ops Gasak dilancar

Kuala Lumpur: Kumpulan pengganas Sulu dipercayai sedang merancang melakukan serangan kedua ke atas beberapa kawasan sekitar Pantai Timur Sabah dalam masa terdekat, bagi mendapatkan wang tebusan melalui beberapa siri penculikan.
Setakat ini tiga lokasi yang dipercayai menjadi sasaran kumpulan militan Abu Sayyaf dan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), itu adalah Pulau Selingan, Sandakan dan Pulau Langkayan di Beluran serta Resort Sukau di Kinabatangan.

Kumpulan terbabit dipercayai akan bertindak untuk melakukan serangan di kawasan sasaran mereka, antara hari ini sehingga menjelang perayaan Krismas pada 25 Disember ini.

Polis siap sedia

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, ketika diminta mengulas mengenai perkara itu, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku.

“Kita menerima pelbagai maklumat berhubung rancangan kumpulan pengganas itu dan sentiasa memperketatkan kawalan serta pengawasan sama ada di laut, darat dan kawasan kepulauan demi keselamatan dan ketenteraman awam, khususnya di Pantai Timur Sabah.
“PDRM juga giat menjalankan Operasi Cantas Khas (Op Cantas) di seluruh kawasan terbabit, manakala pasukan ESSCOM menjalankan Ops Gasak khususnya di kawasan rumah air dan pulau untuk menghalang cubaan pengganas Sulu menceroboh ke perairan negara,” katanya pada sidang media di Maktab PDRM, di sini, semalam.

Sabtu lalu, seramai 30 lelaki bersenjata api dikesan meninggalkan Kepulauan Talipao, Jolo, Filipina, dipercayai menuju ke kawasan perairan Sabah, namun lokasi sebenar kumpulan terbabit kini masih belum dikenal pasti.

Sumber berkata, kumpulan sama diketuai Indang Susukan dipercayai terbabit dalam kejadian penculikan seorang wanita dan menembak mati suaminya di Pulau Pom-Pom, Semporna, 15 November lalu.

Sementara itu, PDRM meneruskan usaha mengesan 1.7 juta pesalah lalu lintas yang belum menjelaskan saman sejak Operasi Waran Tangkap (Ops Warta), bermula 25 September lalu.
-Bharian
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger