Haruan Makan Anak Dipenjara 15 Tahun, 10 Sebatan
Written By aku on Saturday, 14 December 2013 | 4:44 pm
AMPANG - Seorang lelaki yang disifatkan sebagai haruan makan anak dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan oleh mahkamah sesyen, di sini, semalam kerana merogol anak kandungnya sejak enam tahun lalu.
Hakim Chan Jit Li menjatuhkan hukuman tersebut terhadap lelaki yang bekerja sebagai ejen pekerja asing itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman tersebut bermula semalam dan menolak permohonan peguamnya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.
Lelaki berusia 53 tahun itu didakwa merogol anak kandungnya yang kini berumur 19 tahun di rumah mereka di Ampang Jaya, di sini, antara 2006 dan Mac 2012.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Ummi Aliza Ab Kadir memohon hukuman maksimum kerana kesalahan adalah serius selain mengambil kira faktor kepentingan awam.
Ummi Aliza berkata, perbuatan tertuduh merogol anak sendiri diibaratkan sebagai haruan makan anak.
“Dia bukan sahaja merosakkan masa depan anaknya sendiri malah hubungan mangsa dengan ahli keluarga yang lain turut renggang disebabkan perkara ini,” katanya.
Ummi Aliza menegaskan, sebagai bapa kandung, tertuduh sepatutnya menunaikan amanah dan tanggungjawab melindungi keselamatan dan maruah anaknya.
“Mangsa trauma sepanjang hidupnya kerana tertuduh merogolnya sejak berumur 12 tahun,” katanya.
Seramai sembilan saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan bermula tahun lalu.
Mangsa turut dipanggil ke mahkamah untuk memberikan kenyataan kesan daripada kejadian itu terhadapnya.
Menurut mangsa, kejadian itu menjejaskan emosinya sehingga dia terpaksa menerima rawatan psikiatri di Hospital Melaka.
Ketika perbicaraan, tertuduh diwakili peguam Mohd Zulfiqri Zakaria.
---Sinar
Labels:
Jenayah