Kesengsaraan mangsa bencana banjir di Terengganu sedikit terubat apabila kerajaan negeri mengumumkan bantuan khas RM1,500 kepada setiap keluarga yang rumah mereka mengalami kerosakan dan terjejas teruk akibat ditenggelami air, baru-baru ini.
Kerajaan negeri dijangka akan membelanjakan hampir RM15 juta melibatkan 10,000 keluarga yang terlibat dengan bencana itu di seluruh Terengganu.
Berita gembira itu disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.
“Kerajaan negeri bersetuju menyediakan bantuan kepada mereka yang terlibat banjir dan rumahnya tenggelam. Dulu kita beri bantuan kepada mangsa banjir mengikut keluarga, jika tiga keluarga dalam satu rumah, bermakna setiap keluarga mendapat RM500.
“Sekarang ini kita beri bantuan berasaskan rumah. Kalau rumah tenggelam, harta seperti perabut rosak , kita akan beri RM1,500 keseluruhan untuk satu rumah, bukan berasaskan bilangan keluarga yang ada dalam rumah berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, selain bantuan khas RM1,500 itu, kerajaan negeri juga akan mengagihkan bantuan khas RM500 kepada setiap keluarga yang terlibat dengan banjir tetapi rumah mangsa tidak ditenggelami air dan rosak.
Katanya, bantuan kerajaan negeri itu akan menjadi tambahan kepada bantuan khas kerajaan Pusat berjumlah RM500 kepada setiap keluarga sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, baru-baru ini.
Tambah beliau, bantuan berkenaan akan diagihkan secara berperingkat-peringkat bermula Januari ini selepas senarai mangsa yang terlibat disahkan oleh ketua kampung, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung serta Penolong Pegawai Daerah di kawasan masing-masing.
“Kita perlu mendapatkan senarai pengesahan terlebih dahulu, Kita tidak mahu orang mengambil kesempatan, dia tidak terlibat tetapi dia mengambil juga bantuan itu. “Seperti yang dikatakan tadi, jika dia tidak mengalami kerugian dari segi kerosakan harta benda dalam rumahnya, tetapi mereka mengambil juga bantuan itu (RM1,500), jadi itu tidak adillah. Kita minta rakyat jujurlah,” katanya.
Menurutnya, senarai penerima bantuan berdasarkan pendaftaran mangsa di pusat pemindahan banjir baru-baru ini itu, akan disemak terlebih dahulu di Pejabat Daerah yang terlibat bagi mengenalpasti kategori bantuan yang layak diterima oleh mangsa.
--teganukita