Home » » Kerana Cemburu Tetak Isteri Hingga Mati

Kerana Cemburu Tetak Isteri Hingga Mati

Written By aku on Wednesday 11 December 2013 | 3:35 pm


LAHAD DATU: Gara-gara cemburu selepas mengesyaki isteri mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain, seorang buruh ladang bertindak nekad menetak isterinya sehingga mati dalam kejadian di Blok 18, Ladang Felda Sahabat 52 Tambisan, di sini, petang kelmarin.
Wanita itu yang dikenali sebagai Kasmawati Salang, 30, parah pada bahagian kepala akibat ditetak, dipercayai menggunakan sebilah parang.
Mangsa disahkan meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan ke Hospital Lahad Datu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Supt Shamsudin Mat, ketika dihubungi berkata sepasukan anggota polis dari Balai Polis Cenderawasih dikerahkan ke lokasi itu selepas pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 4.20 petang.
“Anggota polis yang tiba kemudian menemui mayat wanita itu dalam keadaan cedera parah dan terbaring di dalam parit,” katanya.
Berikutan itu, katanya, polis menahan suami mangsa yang masih berada di lokasi kejadian.
Katanya, lelaki itu yang berusia 35 tahun dan merupakan warga asing kemudian dibawa ke Balai Polis Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
“Berdasarkan siasatan awal yang dilakukan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Lahad Datu, kita mendapati motif kejadian dipercayai berpunca dari perasaan cemburu selepas suami mangsa mengesyaki isterinya melakukan hubungan sulit dengan salah seorang pekerja ladang yang tinggal serumah dengan mereka,” katanya, sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Shamsudin berkata sehingga lewat kelmarin pihaknya masih belum dapat mengesan senjata yang digunakan untuk menetak mangsa.
“Kita meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
--theborneopost
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger