Mengaku amuk depan restoran
Written By aku on Thursday, 19 December 2013 | 9:20 am
Kuala Lumpur: Mahkamah Majistret di sini, semalam memerintahkan seorang lelaki yang sebelum ini mengamuk dan cuba membunuh dua lelaki termasuk seorang anggota polis di sebuah restoran di Bangsar, dihantar ke Tanjung Rambutan bagi menjalani pemeriksaan mental.
(Gamba Hiasan)
Majistret Nur Azura Murah memerintahkan Rizlan Joha, 36, menjalani pemeriksaan mental selepas tertuduh mendakwa mengalami masalah mental, tetapi tidak pernah mendapat rawatan.
Tertuduh yang hadir ke prosiding semalam dengan menaiki kerusi roda mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya. Bagaimanapun mahkamah menangguhkan hukuman sehingga 16 Januari tahun depan bagi mendapatkan laporan kesihatan mental tertuduh.
Rizlan didakwa cuba menyebabkan kematian seorang anggota polis, Koperal Mohd Faizal Dollah dengan menyerangnya menggunakan parang.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu hadapan Restoran Muhibah, Jalan Bangsar, pada jam 10.39 pagi, 4 Disember 2013.
Bagi perbuatan itu dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Rizlan juga didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Ahmad Yaakob, 59, dengan menetak bahagian leher sebelah kiri mangsa dengan menggunakan parang pada jam 10.30 pagi di tempat dan tarikh yang sama.
Bagi perbuatan itu dia didakwa mengikut 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun dan dengan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, Mohd Faizal mendapat panggilan telefon memaklumkan ada seorang individu mengamuk di sebuah restoran di Bangsar dan apabila sampai di sana, dia dapat melihat tertuduh sedang memegang parang.
Mohd Faizal kemudian meminta tertuduh meletakkan parang yang dipegangnya sebanyak tiga kali bagaimanapun apabila Rizlan bertindak mengacukan parang ke lehernya, dia menembak lelaki itu di bahagian lutut.
Apabila ambulans dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) tiba, lelaki itu menyerah diri dan dibawa ke hospital untuk rawatan.
Terdahulu sebelum kejadian ditembak polis, tertuduh didakwa masuk ke dalam restoran dan menumbuk mangsa iaitu Ahmad serta mengacukan parang di leher dan kelar pipi bahagian kiri wajahnya.
Sementara itu, mahkamah dimaklumkan bahawa tertuduh mempunyai masalah sukar tidur, hilang selera makan dan masalah skizofernia kerana mendengar suara halus dua hingga tiga kali setahun yang memintanya berkebun.
Tertuduh mendakwa dia tidak menyedari apa yang berlaku pada hari kejadian dan rela bertanggungjawab dengan mengaku bersalah atas pertuduhan kerana rasa bersalah.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Zhamilah Mohamed Ismail memohon supaya hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh memandangkan perbuatan yang dilakukan adalah serius sehingga boleh menyebabkan kematian.
“Perbuatan yang dilakukan tertuduh adalah kejam kerana dia mencederakan mangsa yang mempunyai masalah penglihatan. Ketika membuat pengakuan bersalah, tertuduh berada di dalam keadaan waras,” katanya.
--Hmetro
Labels:
Jenayah