Penjenayah agresif cuba rempuh polis
Written By aku on Tuesday, 24 December 2013 | 12:07 pm
IPOH – Polis telah melepaskan lapan das tembakan terhadap dua penjenayah yang bertindak agresif cuba melanggar anggota polis ketika pemeriksaan semasa rondaan Op Cantas di Taman Desa Lawan Kuda, Gopeng di sini, kelmarin.
(Gambar Sekadar Hiasan)
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam, pasukan cantas D9 Perak terserempak dengan sebuah kereta Proton Persona yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum mengekorinya selama 15 minit.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A Paramasivam berkata, ketika pemeriksaan, kereta yang dinaiki suspek bertindak mengundur laju dan merempuh kereta polis sebelum memecut cuba melanggar anggota polis.
Menurutnya, dua suspek berusia 32 dan 33 tahun kemudiannya berjaya ditahan dan hasil siasatan mendapati mereka dikehendaki terlibat dalam beberapa kes samun dan pecah rumah sekitar kawasan Perak, Selangor dan Pulau Pinang.
“Kedua-dua suspek juga mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau dan dikehendaki bersangkut kes curi di Nilai, Negeri Sembilan dan samun di Chemor.
“Semasa kejadian, suspek berusia 32 tahun bertindak sebagai pemandu cedera selepas dua das tembakan terkena di bahagian kaki dan dilaporkan stabil di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri di sini, semalam.
Paramasivam berkata, siasatan lanjut membawa ke sebuah rumah salah seorang suspek di Lawan Kuda, Gopeng.
“Hasil pemeriksaan dalam kenderaan itu menemui beberapa peralatan pecah rumah antaranya pemutar skru, pisau lipat, alat pemotong dan kuku kambing. Turut ditemui pelbagai barang kemas, kamera dan 10 telefon bimbit pelbagai jenama.
“Polis turut menjumpai pelbagai barangan di rumah terbabit antaranya empat komputer riba, empat kamera, 10 jam tangan, empat surat beli emas, surat pajak gadai serta tiga bungkusan wang syiling campuran,” katanya.
Katanya, suspek kemudiannya direman sehingga Rabu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.
“Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 28 kerana memiliki alat-alat pecah rumah dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan kecil kerana memiliki barang tidak dapat memberi keterangan,” katanya.
---Sinar
Labels:
Jenayah