Seksa ‘awek’ suami
Written By aku on Friday, 13 December 2013 | 3:22 pm
Kuala Lumpur: Seorang wanita berusia 33 tahun terpaksa menempuh detik hitam dalam hidupnya apabila ‘diculik’ sebelum dipukul hampir empat jam oleh dua lelaki dalam kejadian di Jalan Hang Tuah, di sini, Selasa lalu.
Dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa diculik dan dipukul dua lelaki berusia lewat 20-an itu kerana dituduh menggoda suami orang.
(Gambar sekadar hiasan)
Menurut sumber, berdasarkan siasatan awal, polis mengesyaki dua lelaki itu diupah seorang wanita yang mendakwa suaminya digoda mangsa.
“Tujuan mereka mungkin untuk menakut-nakutkan mangsa,” katanya memberitahu, mangsa dibebaskan jam 10 malam hari sama di kawasan Cheras sebelum datang membuat laporan di Balai Polis Tun H S Lee, di sini.
Menurut sumber, ketika kejadian, mangsa yang bersendirian di kawasan monorel di Jalan Hang Tuah mendakwa ditarik masuk ke dalam kereta jenis Proton Wira oleh dua lelaki tidak dikenalinya.
“Lelaki itu kemudian mengikat tangan dan mulut mangsa sebelum membawanya ke sebuah flat yang terletak kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian,” katanya memberitahu, seorang daripada lelaki itu kemudian mendakwa diupah seorang wanita kerana menuduh mangsa menggoda suaminya.
Katanya, mangsa yang berjaya membuka ikatan di kedua-dua tangannya kemudian segera menghantar SMS kepada rakannya memaklumkan diculik dan meminta bantuan.
“Tindakannya itu mengundang kemarahan lelaki berkenaan yang kemudian bertindak menampar, menumbuk dan menendang mangsa.
Mangsa dilaporkan dilakukan sedemikian selama hampir empat jam,” katanya.
Sumber itu berkata, kumpulan terbabit hanya berhenti memukul mangsa sebaik terkejut apabila telefon bimbit wanita berkenaan tiba-tiba berdering.
“Mangsa kemudian memberitahu rakannya sudah membuat laporan polis mengenai kejadian itu menyebabkan kumpulan terbabit panik.
“Mereka membawa mangsa masuk ke dalam kereta sebelum bergegas meninggalkan kawasan perumahan berkenaan.
Mangsa ditinggalkan di satu kawasan perumahan di sekitar Cheras,” katanya.
Katanya, mangsa bernasib baik apabila dibantu orang awam sebelum dibawa ke Balai Polis Tun H S Lee di sini.
“Mangsa dirujuk ke hospital berhampiran.
Wanita terbabit dilapor menerima sekurang-kurangnya empat jahitan di kepala selain bengkak di beberapa bahagian badan,” katanya.
Harian Metro difahamkan, sehingga kini tiada tangkapan dilakukan, namun usaha mengesan penjenayah sedang dilakukan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan memberitahu siasatan dilakukan.
---Hmetro
Labels:
Jenayah