Tertarik bacaan Al-Fatiha
Written By aku on Friday, 13 December 2013 | 3:10 pm
JITRA - Meskipun dibesarkan dalam keluarga yang kuat pegangan agama nenek moyangnya, namun, jiwanya masih terasa kosong dan perlu diisi bagi memenuhi ruang dalam nalurinya.
Selepas melihat kepercayaan nenek moyangnya itu tidak dapat diikuti, jiwanya mula mencari-cari hinggalah beliau berpindah bersama bapanya dari Kuala Lumpur ke Kemaman, Terengganu bergaul dengan rakan baru yang kebanyakan berbangsa Melayu.
Di sinilah kehidupan Azman Khor Abdullah, 57, mula berubah apabila tinggal di sebuah perkampungan Melayu yang banyak mengubah corak kehidupannya.
"Pada masa itu umur saya baru 10 tahun dan kehidupan banyak dipengaruhi oleh adat istiadat orang Melayu.
"Di kampung ini juga saya bertemu dengan seorang rakan baik, Noor Faiz Ahmad Din hingga keluarganya itu sudah seperti keluarga saya sendiri," katanya.
Minta rakan baik tulis Surah Al-Fatihah
Menurutnya, kehidupan dan kepercayaan keluarga Noor Faiz itu turut menarik minatnya untuk mempelajari ilmu agama.
“Hinggalah pada suatu hari ketika saya pergi ke rumah kawan saya itu terdengar ibunya membaca al-Quran dalam surah Al-Fatihah hingga menyebabkan hati saya tertarik dengan bacaan itu dan meminta Noor Faiz menulis bacaan itu ke dalam buku kecil.
“Semenjak itu saya mula mempelajari dan membaca Al-Fatihah secara tersembunyi daripada bapa dan sering membawanya ke mana sahaja. Walaupun saya tidak faham makna ayat itu tetapi jiwa saya sangat tenang dan terus mahu mempelajari tentang agama Islam,” katanya.
Azman Khor berkata, surah Al-Fatihah itu sangat sedap didengar dan jika dihayati ia ada kekuatannya sendiri hingga sukar untuk diterjemahkan tentang kemanisan pada ayat-ayat surah berkenaan.
Ambil keputusan masuk Islam
Bagaimanapun usahanya menghafal ayat itu dapat dikesan oleh bapanya apabila buku itu hilang dari simpanannya dan dia telah dihantar pulang semula ke Kuala Lumpur hingga tamat pelajarannya.
"Walaupun sudah pulang ke Kuala Lumpur dan mula bekerja sebagai kerani akaun di sebuah syarikat swasta tetapi semangat untuk belajar tentang Islam tidak pernah terpadam dalam jiwa saya hinggalah pada 1980 saya mengambil keputusan untuk mengucap dua kalimah syahadah di sebuah masjid dan memeluk Islam.
“Selepas memeluk Islam, semangat untuk mempelajari Islam sangat membuak-buak hinggalah saya berhijrah ke Derang Pokok Sena, sebuah pusat pengajian agama dan tinggal di situ serta bertemu jodoh dengan isteri saya, Nor Sakinah Vanitha Abdullah," katanya yang kini membuka kedai makanan Cina Muslim di Bandar Baru Darul Aman.
Katanya, penghijrahan itu memberi kehidupan baru dalam hidupnya dan turut bersyukur kerana di samping mendalami agama, dia juga dapat membina keluarga sendiri dan mampu mendidik keluarganya mengikut acuan Islam.
Keluarga sudah terima penghijrahan
Ditanya tentang penerimaan keluarganya, dia berkata, mereka sudah mengetahui mengenai minatnya terhadap Islam sejak kecil lagi dan kini mereka menghormati keputusannya memeluk Islam.
“Bapa saya Khor Jin Yew sudah lama tahu tentang minat saya terhadap Islam. Walaupun pelbagai halangan dilakukannya, akhirnya dia mengizinkan asalkan saya menjadi seorang insan yang baik terhadap agama dan masyarakat.
“Walaupun kini bapa saya sudah tiada tetapi sebagai abang sulung daripada lima beradik, mereka tetap menghormati malah setiap kali hari raya mereka pernah juga menghantar duit kepada anak-anak untuk membeli pakaian,” katanya kepada Sinar Harian.
Azman Khor berkata, dia kini sungguh gembira dengan kehidupannya, malah turut bersyukur kepada ALLAH kerana menganugerahkan anak seramai 10 orang bagi memeriahkan hidupnya sebagai Muslim.
---SinarHarian
Labels:
Agama