Goncang bayi, amah dipenjara 18 bulan
Written By aku on Tuesday, 28 January 2014 | 9:37 am
KOTA BHARU - Seorang amah Indonesia menangis apabila dihukum penjara 18 bulan oleh mahkamah sesyen di sini, semalam, selepas mengaku salah menggoncang dan melayan kasar anak majikannya yang berusia setahun, tahun lalu.
Tertuduh Enong Nur Sukma, 41, dari Garut, Jakarta Barat, Indonesia, mengaku salah melakukan perbuatan itu terhadap bayi setahun tiga bulan tersebut di sebuah rumah di Lorong Haji Pak Noh, Bayam di sini, pada jam 10 malam, 23 Februari.
Sebelum kejadian, pengadu, Mohd Syazwan Che Abdul Aziz dan isteri keluar dari rumah serta meninggalkan dua anak mereka berusia tiga tahun dan setahun tiga bulan di bawah jagaan tertuduh.
Mereka meninggalkan kamera digital yang terpasang dan disembunyikan di dalam sebuah kotak di atas meja solek di dalam bilik.
Setengah jam kemudian kedua-duanya pulang ke rumah dan melihat rakaman video tersebut mendapati tertuduh menggoncang badan dan kepala bayinya itu serta melayan mangsa dengan kasar.
Pengadu kemudian bertindak membuat laporan polis dan laporan perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II menunjukkan kesan kemerahan pada bahagian paha mangsa. Mangsa turut mengalami demam, muntah dan keletihan.
Pada prosiding semalam, peguam Datuk Nara Singh memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira tempoh tertuduh berkhidmat dengan keluarga itu yang sudah mencecah tiga tahun setengah.
“Tertuduh sudah lama berkhidmat dengan keluarga ini dan tiba-tiba satu hari memasang kamera serta mendakwa tertuduh menggoncang anak mereka,” katanya.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nur Hilwani Mat Rifin membantah alasan itu dan berkata dalam tempoh khidmat yang panjang tersebut tertuduh sepatutnya menjadi pelindung kepada kanak-kanak terbabit dan bukan sebaliknya.
Selepas kesemua hujah dipertimbangkan, Hakim, Mohd Yusoff Yunus memutuskan hukuman tersebut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
---Sinar Harian
Labels:
Jenayah