Home » » Tentera hilang: Pasukan penyelamat buntu

Tentera hilang: Pasukan penyelamat buntu

Written By aku on Monday, 24 February 2014 | 12:30 am


BESUT - Pasukan mencari dan menyelamat masih buntu dalam usaha mengesan anggota tentera yang hilang ketika berkhemah di Hutan Lipur Lata Belatan di sini, empat hari lalu.

Walaupun gerakan mencari Koperal Nik Azizi Mohd Nor, 30, telah dilakukan hampir keseluruhan kawasan tersebut, namun masih gagal mengesannya.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, usaha mencari mengesan mangsa sejak Rabu lalu termasuk sehari oleh pasukan tentera belum menunjukkan petanda positif.

Menurutnya, gerakan mencari diperhebat apabila pihak tentera menambah seramai 500 anggotanya dalam usaha mencari mangsa.

“Tumpuan kawasan mencari Nik Azizi diperluaskan di kawasan luar pusat rekreasi tersebut membabitkan semua pihak khususnya tentera dan polis,” katanya mengulas mengenai kehilangan anggota dari 18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Seberang Takir, Kuala Terengganu, dalam sidang media di Lata Belatan, petang semalam.

Kamaruddin berkata, buat masa ini gerakan mencari akan diteruskan dengan membabitkan anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia, JPAM, Rela dan penduduk kampung.

Menurutnya, operasi hanya bertumpu di kawasan darat dan hutan selepas usaha mengesan di kawasan lubuk dan celah batu sungai gagal mengesan mangsa.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas dakwaan pihak tertentu yang tidak menolak kemungkinan mangsa bukan hilang, sebaliknya melarikan diri.

“Polis dan tentera turut menjalankan siasatan dari pelbagai sudut,” katanya yang akan meneruskan operasi sehingga semua pihak berpuas hati.

Beliau turut meminta orang ramai yang melihat mangsa agar menghubungi segera Inspektor Zuraidi Semail menerusi 0174254523 atau Ibu Pejabat Polis Daerah, 09-6592222.

Dalam pada itu, bapa mangsa, Mod Nor Mis, 58, berkata, nalurinya berpendapat anak ketiga daripada enam beradik itu tidak berada di kawasan tersebut.

Menurutnya, terdetik di hati kecilnya Nik Azizi keluar dari kawasan Hutan Lipur dan tidak berada di situ.

“Sebaik dia hilang, naluri saya berkata dia sudah keluar tapi tidak tahu ke mana dia pergi, namun ramai bomoh yang datang beritahu dia masih berada di dalam hutan tersebut.

“Saya ada sedikit pengalaman dalam rawatan tradisional, namun saya hairan kerana saya tidak merasakan sesuatu yang aneh berlaku berhubung kehilangan anak saya ini” katanya yang tidak percaya anaknya hilang kerana disorok makhluk halus.

Sementara itu, Mohd Nor sekeluarga reda terhadap sebarang berita bakal diterimanya mengenai kehilangan Nik Azizi, namun berharap dia ditemui dalam keadaan selamat.

Pada masa sama, Mohd Nor turut berterima kasih kepada pasukan mencari yang berusaha gigih untuk mengesan anaknya dan dia berpuas hati dengan semangat ditunjukkan kumpulan penyelamat.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger