Harga barang naik mendadak
Written By aku on Sunday, 4 January 2015 | 10:56 am
KOTA BHARU - Di saat rakyat Kelantan mengalami kesengsaraan meneruskan hidup pasca banjir terburuk, ada yang tidak berhati perut menjual barangan dengan harga cekik darah.
Tinjauan Sinar Harian mendapati harga tersebut boleh dikatakan tidak lojik langsung tetapi apakan daya dalam keadaan sekarang pengguna terpaksa membelinya kerana sudah terdesak.
Kebanyakan harga makanan dan barang keperluan lain boleh dianggap harga cekik darah apabila sebatang lilin dijual dengan harga RM10, berbanding harga biasa, empat batang RM2 sekotak.
Seorang penduduk, Mohd Nasir Ismail dari Pasir Mas berkata, walaupun mahal dia terpaksa membelinya kerana bekalan elektrik di kawasannya terputus akibat banjir.
“Kami sudah bergelap lebih seminggu. Saya terpaksa beli walaupun mahal kerana anak-anak ketakutan berada dalam gelap,” katanya.
Kesan banjir amat dirasakan oleh masyarakat apabila ada kawasan yang tidak mendapat bekalan air bersih dan ia lebih terkesan kerana mereka terpaksa membeli air mineral 1.5 liter berharga RM6 sebotol untuk kegunaan harian. Sedangkan harga asal RM2 sebotol.
Bukan setakat itu sahaja, ketika musim ombak besar ini juga sudah tentunya ikan segar sukar didapati dan orang ramai mula tertumpu pada ayam dan daging.
Di Kota Bharu, lebih mengejutkan, harga ayam yang biasanya sekitar RM14 seekor kini dijual dengan harga RM40 seekor dalam saiz yang sederhana besar.
Boleh dikatakan semua kawasan menjual barangan dengan harga tiga kali ganda mahal dari hari sebelum Kelantan dilanda bah besar.
Ketika banyak kedai makan yang masih belum beroperasi, nasi kosong berlaukkan ayam goreng dijual pada harga lima kali ganda mahalnya itu RM10 sebungkus sedangkan sebelumnya RM2.50 sahaja.
Harga tersebut agak melampau kerana nasi dan lauknya lebih sedikit daripada biasa.
Bukan menyalahkan peniaga mahupun penjual kecil-kecilan tetapi hakikatnya bencana banjir ini ibarat menjadi rezeki di depan mata untuk mereka mengaut keuntungan.
Bagi mangsa rumahnya ditenggelami banjir, penyapu antara yang dicari untuk membersihkan lumpur memenuhi ruang selain sabun.
Mengejutkan juga bukannya harga RM20 untuk satu set penyapu tetapi batangnya sahaja dijual dengan harga tersebut tanpa berus.
Labels:
Semasa