Home » » Pusat hemodialisis tak mampu tampung pesakit

Pusat hemodialisis tak mampu tampung pesakit

Written By aku on Saturday 6 June 2015 | 7:06 pm


JERTIH - Bilangan pesakit buah pinggang di negeri ini agak membimbangkan apabila antara 150 hingga 200 kes pesakit baharu direkodkan setiap tahun di seluruh negeri.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohammad Omar berkata, jumlah itu membabitkan seramai kira-kira 1,200 pesakit yang sedang menjalani rawatan di pusat-pusat hemodialisis yang terdapat di hospital negeri ini, termasuk yang diwujudkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta.

Bagaimanapun katanya, dengan hanya 200 mesin yang disediakan, menyebabkan masih ramai pesakit buah pinggang tidak mendapatkan rawatan.

“Bilangan pusat hemodialisis yang terhad menyebabkan kita tidak mampu memberikan rawatan kepada pesakit buah pinggang, termasuk purata kira-kira 20 orang di setiap daerah yang sedang menunggu giliran mendapatkan rawatan ini.

“Masalah kekurangan kemudahan itu menyebabkan ada pesakit terpaksa berulang alik mendapatkan rawatan di negeri berdekatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Hemodialisis Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan Hospital Besut yang terletak di hadapan Hospital Besut di sini kelmarin.

Dr Mohammad berkata, Pusat Hemodialisis Maidam-Hospital Besut merupakan projek usahasama pertama Maidam dan Hospital Besut yang dibina membabitkan kos sebanyak RM1 juta, dan mempunyai kemudahan tujuh mesin hemodialisis termasuk sebuah mesin untuk kecemasan.

“Pusat yang beroperasi sejak awal bulan ini menempatkan beberapa kakitangan terlatih Jabatan Kesihatan Negeri, dengan seramai 24 pesakit buah pinggang sedang mendapatkan rawatan.

Katanya, pusat tersebut adalah projek usahasama pertama oleh agensi kerajaan negeri, selain sebuah lagi diwujudkan di RTC Ketengah, Dungun dengan mempunyai kapasiti enam mesin rawatan yang dibuat secara percuma kepada pesakit.

“Kami menyasarkan agar pusat hemodialisis diwujudkan setiap daerah termasuk di Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu yang diwujudkan sama ada membabitkan kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat lain,” katanya.

Sehubungan itu Dr Mohamad berharap masyarakat di negeri ini melakukan pencegahan awal dengan memastikan kesihatan dijaga dengan baik terutamanya kepada penghidap darah tinggi dan kencing manis.

Katanya, penghidap diabetes iaitu kencing manis, darah tinggi dikenal pasti penyumbang tertinggi kepada punca peningkatan penyakit buah pinggang di negeri ini selain punca lain seperti masalah batu karang, pengambilan ubat-ubatan tidak terkawal dan beberapa faktor lain.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger