Home » » Detik sukar di gunung

Detik sukar di gunung

Written By aku on Monday 20 July 2015 | 10:12 pm


JABI - Seorang pelajar perempuan terpaksa menempuh penga-laman memeritkan apabila kaki kanannya terseliuh ketika menuruni Gunung Tebu di sini petang kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Zailani Abdullah berkata, pihaknya mendapat maklumat seorang mangsa mengalami kecederaan ketika menuruni gunung tersebut bersama ahli keluarganya sempena cuti perayaan ini pada jam 5.54 petang.

Beliau yang juga bertindak sebagai ketua operasi berkata, mangsa Ho Jia Wen, 16, mengalami kesukaran untuk turun ke kaki gunung di Lata Belatan berikutan  terseliuh  di bahagian pergelangan kaki kanan.

“Seramai 11 anggota Bomba dan Penyelamat  Jertih serta Besut selain dibantu beberapa orang malim gunung (penunjuk arah) telah mendaki gunung tersebut untuk bantu bawa turun mangsa bermula jam 6.25 petang,” katanya.

Zailani berkata, pasukan penyelamat bertemu dengan mangsa bersama ahli keluarga seramai 22 orang yang sedang menuruni gunung dan membantu memapah mangsa turun sehingga ke kaki gunung.

Mereka berjaya sampai di Lata Belatan lebih kurang jam 9.48 malam.

“Keadaan kaki mangsa yang tercedera itu menyebabkan dia sukar untuk berjalan memandangkan keadaan muka bumi yang curam. "Mangsa belajar di Lembah Klang dan keluarganya berasal dari Besut,” katanya.

Katanya, sebaik tiba di kaki gunung, salah seorang malim gunung membantu mengurut kaki mangsa membolehkan dia boleh berjalan semula selepas itu.

Zailani berkata, sebuah ambulan milik JPAM telah sedia di Lata Belatan untuk membawa mangsa ke hospital.

Sementara itu Zailani menasihatkan orang ramai agar berhati-hati sekiranya mempunyai rancangan untuk mendaki Gunung Tebu dalam masa terdekat memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu terutama sering berlaku hujan lebat dan ribut terutama  pada sebelah petang.

“Keadaan cuaca yang tidak menentu amat berbahaya kepada pendaki kerana permukaan tanah yang licin dan ancaman pokok tumbang sekiranya ribut atau angin kuat,” katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger