Home » » Ulama Pas restu batalkan hubungan dengan DAP

Ulama Pas restu batalkan hubungan dengan DAP

Written By aku on Saturday 11 July 2015 | 2:28 pm


SHAH ALAM – Setelah lebih sebulan menanti keputusan Majlis Syura Ulama Pas terhadap status hubungan parti itu dengan DAP, akhirnya hari ini, kerjasama antara Pas-DAP itu diumumkan telah terbatal.

Setiausaha Majlis Syura Ulama,Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pihaknya kesal dengan tindakan-tindakan provokasi berterusan dari DAP serta campur tangan parti itu dalam dasar perjuangan Pas.

“Namun Majlis Syura Ulama kesal dengan tindakan-tindakan provokasi berterusan dan keputusan DAP yang mengecam dan melanggar semangat kerjasama PR, serta campur tangan dalam aqidah, dasar dan matlamat Pas.

“Oleh itu, Majlis Syura Ulama memutuskan bahawa hubungan tahaluf siyasi dengan DAP terbatal. Dalam masa yang sama, Pas mengekalkan tahaluf siyasi bersama  PKR,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Awal Jun lalu Muktamar Pas Pusat ke-61 menerima usul Dewan Ulama Pas tanpa bahas untuk memutuskan kerjasama politik dengan DAP namun ia terus menjadi tanda tanya selagi Majlis Syura Ulama sebagai badan tertinggi dalam Pas belum memberi kata akhir.

Sebelum ini DAP melalui mesyuarat Jawatankuasa eksekutif Pusat (CEC) telah memutuskan hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana mendakwa Abdul Hadi tidak jujur dan tidak bermaruah.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Majlis Syura Ulama Pas menyerahkan keputusan itu untuk dilaksanakan mengikut kesesuaian dan keperluan politik semasa kepada Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.

“Pas terus istiqamah dengan prinsip Islam sebagai rahmat untuk semua yang menegakkan keadilan dan kesejahteraan untuk semua kaum. Oleh kerana itu, Pas konsisten meneruskan hubungan dengan semua pihak menerusi hubungan tahaluf siyasi bersama parti politik dan NGO bukan Islam.

“Dalam masa yang sama Pas tetap teguh berpegang dengan dasar-dasar Islam ketika berhubung dengan semua pihak. Keputusan ini diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja Pas Pusat untuk dilaksanakan menurut kesesuaian dan keperluan politik semasa.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger