Home » » Padah tunjuk lagak samseng

Padah tunjuk lagak samseng

Written By aku on Tuesday 8 September 2015 | 12:17 pm


BESUT - Tindakan seorang lelaki melepaskan tembakan menggunakan senapang angin mengundang padah apabila dia ditangkap bersama senjata tersebut.

Dalam serbuan jam 4.30 petang Sabtu lalu oleh Pasukan Spider Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut di Kampung Tok Dor di sini, polis turut menemui sebuah motosikal disyaki motosikal curi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, serbuan itu dilakukan susulan laporan polis yang dibuat seorang lelaki berusia 18 tahun apabila suspek berusia 22 tahun mengugut mangsa dengan menunjukkan sebilah pedang.

Suspek turut melepaskan tembakan ke udara dengan senapang angin pada jam 1.45 pagi hari yang sama.

Menurutnya, mangsa bersama seorang rakannya dikatakan pergi mencari suspek yang berada di sebuah bangsal di dalam kebun getah Kampung Tok Dor untuk bertanya mengenai tindakan suspek sebelum itu yang menceroboh rumah dan memukul adiknya.

“Bagaimanapun pertanyaan mangsa tak dijawab suspek, sebaliknya ia dibalas dengan ugutan apabila suspek menunjukkan sebilah pedang dan melepaskan tembakan ke udara sebelum meninggalkan tempat kejadian dengan menunggang motosikal,” katanya.

Khaled berkata, susulan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Jertih, suspek berjaya ditahan di tepi sebuah rumah di Kampung Baharu Tok Dor pada petang hari yang sama.

Pemeriksaan terhadap tubuh badan suspek menemui sebuah beg pinggang mengandungi 15 tiub straw yang setiap satu berisi 10 biji pil kemerahan, sebiji pil kehijauan dan satu tiub straw berisi lapan biji pil kemerahan disyaki dadah jenis methamphetamine (pil kuda).

Katanya, pemeriksaan lanjut terhadap dompet suspek pula menemui beberapa biji pil kemerahan dan kehijauan dipercayai dadah, dengan keseluruhan pil sebanyak 167 biji.

“Pemeriksaan di kawasan rumah suspek pula membawa penemuan selaras senapang angin, satu bekas plastik mengandungi 113 biji bebola besi disyaki peluru senapang angin tersebut dan sebilah pedang.

“Malah pemeriksaan terhadap sebuah motosikal yang ada di tepi rumah suspek disyaki motosikal curi,” katanya.

Suspek yang positif dadah dibawa ke IPD Besut bersama barang kes untuk siasatan lanjut.

Khaled berkata, polis akan menjalankan siasatan lanjut tujuan senapang angin itu digunakan dan tidak menolak suspek juga merupakan pengedar dadah secara kecil-kecilan di kawasan berkenaan.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger