Home » » Peka makanan laut elak penyakit

Peka makanan laut elak penyakit

Written By aku on Monday 7 September 2015 | 9:00 am


KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Negeri mengesahkan belum menerima laporan rasmi mengenai laporan penemuan hasil kajian Stesen Penyelidikan Universiti Malaya di Bachok berkaitan kandungan air Sungai Geting mengandungi Plankton Alexandrium sp.

Pengarahnya, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher berkata, bagaimanapun pihaknya menasihatkan agar masyarakat lebih peka dengan pengambilan makanan laut yang berkaitan bagi mengelak sebarang penyakit yang tidak diingini.

“Setakat ini tidak dimaklumkan secara rasmi berkaitan kajian yang dibuat tersebut. Secara keseluruhannya kita boleh menilai sendiri sama ada bersih atau tidak,” katanya kepada media di sini semalam merasmikan Kem I Want dan Program Berjalan Kaki 10,000 langkah sempena Kemerdekaan.

Beliau diminta mengulas notis Jabatan Perikanan memaklumkan kajian dari Stesen Penyelidikan Universiti Malaya di Bachok mendapati kandungan air Sungai Geting  mengandungi Plankton Alexandrium sp.

Jabatan Perikanan juga turut mengeluarkan amaran mengenai penemuan hasil kajian berkenaan dengan melarang aktiviti memungut, menjual, memakan tiram dan kerang di kawasan tersebut kerana boleh mengakibatkan keracunan serta kematian.

Pengarah Perikanan Kelantan, Mohd Zain Saad turut memberitahu pihaknya telah menghantar sampel lokan yang diambil di sekitar Sungai Geting ke tiga pusat penyelidikan untuk kajian lanjut.

Lokan itu dihantar ke sebuah makmal di Pahang, Universiti Malaya (UM) di Bachok dan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mengetahui tahap kandungan bahan yang percayai beracun itu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ahmad Razin turut memberitahu, sehingga semalam, kes demam denggi telah mencatatkan penurunan iaitu sebanyak 1,737 berbanding 8,480 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Sebanyak 83 peratus penurunan dicatatkan melalui jumlah tersebut namun sedikit peningkatan berlaku bulan Ramadan dan selepas Hari Raya Aidilfitri melibatkan 140 kes seminggu berbanding 20 hingga 30 kes sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, kes tersebut meningkat di musim perayaan kemungkinan disebabkan oleh bawaan perantauan luar Kelantan yang pulang ke kampung halaman.

Selain itu beliau turut menyarankan masyarakat lebih peka dengan keadaan sekeliling dan mengenal pasti kawasan-kawasan dan punca-punca utama boleh berlakunya denggi tersebut.

“Semua orang tahu punca kenapa, tetapi melalui pemantauan yang saya lihat sendiri, masih belum mempraktikkan sepenuhnya kesedaran itu kerana kita masih jumpa lagi sampah yang tidak dibuang di tempat yang sepatutnya, sedangkan ia tanggungjawab bersama.

“Kepada mereka yang mempunyai telaga terbuka, kita minta mereka klorinkan air telaga supaya denggi dapat dibendung. Bekalan klorin  boleh diambil secara percuma di pejabat-pejabat kesihatan,” katanya.



caption pict:

 Ahmad Razin merasmikan program I Want dengan sepakan bola yang disaksikan kapten pasukan The Red Warriors, Mohd Badhri Radzi dan Wan ZaharulNizam Wan Zakaria, semalam.

Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger