Home » » ADUN DAP bertengkar soal tempoh jawatan ketua menteri

ADUN DAP bertengkar soal tempoh jawatan ketua menteri

Written By aku on Tuesday 17 November 2015 | 9:29 am


GEORGETOWN: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini, menyaksikan 'perang mulut' sesama wakil rakyat daripada DAP apabila Teh Yee Cheu (DAP-Tanjung Bungah) sekali lagi membangkitkan isu mengehadkan tempoh jawatan ketua menteri. Teh berkata, bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pernah mencadangkan supaya tempoh jawatan ketua menteri dihadkan kepada tiga penggal, dan sehubungan itu beliau mahu perkara itu dibawa kepada jawatankuasa khas untuk kajian lebih mendalam. "Ini penting supaya proses pendemokrasian di negeri ini berlangsung dengan lebih progresif," katanya ketika membahaskan Bajet 2016 Pulau Pinang pada persidangan DUN di sini, hari ini. Cadangan dikemukakan Teh itu menyebabkan Soon Lip Chee (DAP-Jawi) dan Wong Hon Wai (DAP-Air Itam), tidak berpuas hati dan bangun untuk mencelah namun Teh tidak membenarkan.

Wong yang juga Setiausaha Akhbar kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng, secara sinis cuba memuji keberanian Teh yang membangkitkan isu itu, namun wakil rakyat Tanjung Bungah itu membalas bahawa beliau tidak memerlukan pujian. Teh kemudian meminta Soon duduk dan tidak mengganggu perbahasan beliau menyebabkan Wong yang tidak berpuas hati sekali lagi bangun dan menuduh Teh sebagai seorang tidak budiman kerana enggan memberi peluang untuk mencelah. Perang mulut itu berlarutan lebih kurang lima minit sehingga Timbalan Speaker, Datuk Maktar Shapee, terpaksa meminta Wong duduk bagi membolehkan Teh meneruskan perbahasannya. Pada persidangan DUN 2013, Teh pernah membuat cadangan supaya jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang dihadkan kepada dua penggal sahaja. Persidangan DUN disambung esok. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/97567
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger