Home » » Bayar zakat melalui potongan gaji

Bayar zakat melalui potongan gaji

Written By aku on Monday 2 November 2015 | 12:56 pm


KUALA TERENGGANU- Pembayaran zakat pendapatan menerusi kaedah potongan gaji semakin mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan umat Islam yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan di negeri ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, ini kerana kutipan zakat pendapatan meningkat setiap tahun dan ia menyumbang kutipan zakat tertinggi berbanding zakat lain.

“Saya juga mengucapkan terima kasih khususnya kepada pegawai-pegawai kerajaan yang ambil pendekatan menggunakan perkhidmatan skim potong gaji untuk membayar zakat pendapatan mereka.

“Pada tahun lepas, kutipan zakat pendapatan adalah RM56.3 juta manakala tahun 2013 adalah sebanyak RM53 juta.  Sehingga bulan September, sebanyak RM36.9 juta dan merupakan zakat tertinggi diterima.  Kedua pula, zakat simpanan, RM17.9 juta, dan seterusnya perniagaan, RM16.7 juta.

“Ini menunjukkan kesedaran telah wujud dalam kalangan umum terutama pembayar zakat di negeri Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir mengiringi Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menerima zakat daripada Bank Rakyat di Istana Syarqiyyah, Chendering, Kuala Terengganu, di sini.

Menurutnya,  sehingga September kutipan zakat yang diterima adalah RM83.6 juta dan yakin sasaran RM130 juta kutipan zakat akan berjaya dicapai dalam tempoh beberapa bulan lagi.

“Daripada jumlah RM83.6 juta itu, sebanyak RM83.1 juta telah dibelanjakan.  Insya-Allah kita akan belanjakan lebih daripada pendapatan,  iaitu  baki zakat tahun-tahun sebelum yang masih belum dibelanjakan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pihaknya juga mengenal pasti satu dua syarikat perbankan yang beroperasi di negeri ini, namun tidak membayar zakat perniagaannya di sini.

“Saya difahamkan ada syarikat perbankan yang beroperasi di negeri ini, tetapi tidak membayar zakat perniagaan di sini.  Kemungkinan ia dibayar di ibu pejabatnya,  berpusat di Kuala Lumpur dan sebagainya.

“Namun, jika mengikut hukum syarat, zakat perniagaan itu perlu dibayar di negeri yang beroperasi (mencari rezeki).  Insya-Allah kita akan berjumpa dengan pegawainya untuk menjelaskan perkara ini,” katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger