Home » » Interaksi hormon di kulit kepala

Interaksi hormon di kulit kepala

Written By aku on Tuesday, 3 November 2015 | 2:24 am


Masalah rambut gugur, jarang dan kering sering menghantui tidak kira lelaki atau perempuan. Situasi itu menyebabkan kurang keyakinan diri serta mengganggu penampilan.
Kadar pertumbuhan rambut yang kurang, selain masalah rambut gugur berkait rapat dengan faktor genetik, kaedah penjagaannya dan emosi.
Malah, persepsi masyarakat mengenai rambut bermasalah seperti botak hanya menyerang golongan usia 40-an juga adalah tidak benar kerana hakikatnya mereka yang berusia 20-an juga mengalami masalah sama.


Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), Dr Steven Chow berkata, masalah ini dikenali sebagai Androgenetic Alopecia atau AGA.
Menurutnya, AGA disebabkan oleh pola keguguran rambut lelaki yang berkaitan dengan tahap hormon dalam tubuh. Penyakit ini, katanya, bercirikan rambut yang semakin jarang, bermula di bahagian pelipis atau mercu kepala atau kedua-duanya sekali. Jika tidak dirawat, AGA akan melarat dan rambut pada pelipis semakin menyusut.
“Sejambul rambut akan tinggal pada bahagian hadapan dan kawasan botak di mercu kepala pula semakin membesar. Akhirnya, kawasan rambut gugur di bahagian hadapan dan mercu kepala bertemu serta menyebabkan bahagian atas kepala botak.
“Pada keadaan ini yang tinggal hanyalah rambut di bahagian sisi dan belakang kepala,” katanya, ketika ditemui pada majlis pelancaran Biothymus AC Active di ibu negara, baru-baru ini.
Menurutnya, AGA terjadi disebabkan interaksi hormon terhadap kulit kepala lelaki yang mempunyai risiko genetik dan akhirnya menjejaskan kitaran pertumbuhan rambut normal.
“AGA sering kali dihidap golongan lelaki berusia lebih 25 tahun. Masalah dikesan apabila kitaran pertumbuhan rambut menjadi lebih singkat. Rambut akan gugur sebelum sempat menjadi panjang dan tebal.
“Perubahan terjadi pada pertumbuhan rambut akibat interaksi antara hormon testosteron dengan enzim 5 alfa reduktase (5aR) yang menyebabkan AGA.
“Apabila pertumbuhan rambut tidak memadai, rambut mula menjadi jarang dengan ketara secara keseluruhannya dan kawasan itu lama kelamaan berkembang dan mengakibatkan masalah kepala botak,” katanya.
Mengulas lebih lanjut, beliau berkata, terdapat tiga peringkat kitaran pertumbuhan rambut yang normal iaitu anagen (pertumbuhan), katagen (berehat) dan telogen (pertumbuhan semula).
“Pada peringkat anagen, keadaan menunjukkan proses rambut baru tumbuh daripada dasar folikel. Fasa ini lazimnya berlangsung selama beberapa tahun untuk menghasilkan rambut yang tumbuh sepenuhnya.
“Tahap katagen, kata beliau, menyaksikan rambut berhenti daripada tumbuh, manakala akar rambut mengecut. Dasar folikel akan berkecai dan rambut bergerak naik di dalam folikel, menjauhi akar serta salur darah yang membekalkan rambut dengan khasiat.
“Untuk peringkat telogen, rambut yang kini matang hanya terikat secara longgar pada akar rambut. Rambut ini pula kebiasaannya gugur selepas beberapa bulan atau ditolak keluar oleh rambut seterusnya yang tumbuh dari bahagian bawah,” katanya.
Lazimnya, kira-kira 30 peratus lelaki yang berusia 30 tahun dan 50 peratus lelaki berusia 50 tahun akan mengalami keguguran rambut.
Menurutnya, faktor lain menyebabkan AGA adalah jantina, sejarah keluarga dan tekanan jiwa. Lelaki pada umumnya lebih me­ngalami keguguran rambut kerana mereka banyak menghasilkan testosteron.
“Seseorang itu juga akan lebih cenderung menghidap AGA jika sebelum ini ahli keluarga seperti ayah, bapa saudara dan datuk pernah mengalaminya.
“Tekanan jiwa yang kronik boleh mempercepatkan AGA yang tidak dapat dielakkan ini, manakala keguguran rambut berterusan boleh mengakibatkan kesan psikologi serius terhadap sesetengah lelaki,” katanya.
Panduan penjagaan rambut
- Cuci rambut - Rutin terbaik mencuci rambut adalah dua atau tiga hari sekali. Paling penting, pilihlah syampu yang sesuai dengan rambut. Tidak seharusnya mahal. Pilih syampu yang boleh membuatkan kulit kepala bersih dan menjadikan rambut sihat.
- Elak guna pengering rambut - Kerap menggunakan pengering rambut membuatkan rambut kelihatan kusam. Jika tidak mempunyai pilihan, gunakan pada suhu tinggi untuk mempercepatkan proses pengeringan bagi mengelakkan rambut mudah rosak.
- Longgarkan ikatan rambut - Jangan ikat rambut terlalu ketat kerana ikatan berkenaan memberikan tekanan kepada kulit kepala. Longgarkan ikatan supaya lebih selesa selain mengurangkan masalah keguguran rambut.
- Mengeringkan rambut - Elak mengikat rambut ketika masih basah dan kemudian terus menyarung­kan tudung bagi memastikan kulit kepala kamu tidak ‘tebal’ dengan kelemumur. Kamu boleh mencuci pada waktu malam bagi membiarkan rambut kering dengan sendiri.
- Fabrik tudung - Peng­gunaan tudung daripada material kapas sangat disarankan kerana membolehkan pengaliran udara keluar dan masuk. Elakkan memakai tudung berlapis-lapis ketika beriadah. Ini kerana semakin tebal tudung, sukar kulit kepala untuk bernafas.
- Elak gosok rambut secara kasar - Ketika mengeringkan rambut dengan tuala, gosok secara lembut dan perlahan-lahan dari atas hingga ke hujung rambut. Lakukan berulang kali dan biarkan kering sendiri. Dengan itu, kamu dapat mengelakkan rambut mudah putus atau gugur.
- Rawat rambut - Memakai tudung boleh menimbulkan bau yang tidak enak pada rambut kerana faktor kelembapan. Oleh itu, rawatlah mahkota kamu itu dengan ramuan rempah-ratus sebulan sekali supaya mengekalkan keharuman rambutmu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/89767#sthash.nFkT3wQV.dpuf
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger