Home » » Wisma Audit jadi projek contoh

Wisma Audit jadi projek contoh

Written By aku on Saturday 14 November 2015 | 12:38 pm


KUALA TERENGGANU - Projek pembinaan Wisma Audit, Jabatan Audit Negara diyakini mampu menjadi katalis atau pemangkin kepada pembangunan bandar baharu, khususnya di negeri ini.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang bagaimanapun berkata, untuk menjadi pemangkin yang seterusnya dilabel sebagai sebuah projek contoh, pelbagai perkara perlu dititikberatkan termasuk jangka waktu yang diambil untuk menyiapkan sesebuah projek berkenaan.

Menurutnya, lebih lama masa yang diambil, lebih tinggi kos yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan negeri.

“Tapi, kalau ada komunikasi yang baik antara semua pihak, saya rasa tidak ada masalah. Untuk bina bangunan ini tidaklah begitu rumit sebenarnya.

“Insya-Allah, kalau ada komunikasi dan koordinasi yang baik antara semua pihak (termasuk kontraktor dan kerajaan negeri), hasrat kita untuk menjadi projek contoh yang boleh kita uar-uarkan di tempat lain, akan menjadi kenyataan dan kita boleh berbangga dengan perkara itu,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian Pecah Tanah Wisma Audit, Jabatan Audit Negara, Negeri Terengganu yang disempurnakan oleh Speaker Dun Terengganu, Datuk Mohd  Zubir Embong yang mewakili Menteri Besar di Mukim Gelugor Raja, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pegawai Kewangan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Ir Rosli Othman dan Pengarah Audit Negeri Terengganu, Roslan Abu Bakar serta Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri Terengganu, Satiful Bahri Mamat yang juga merangkap Adun Paka.

Cadangan pembinaan projek di atas tanah seluas 1.416 hektar itu bermula sejak tahun 2006, namun kerja-kerja menambun tanah hanya selesai dilaksanakan kira-kira tiga tahun selepas itu (2009).

Dengan mengekalkan ciri-ciri reka bentuk yang berasaskan seni warisan negeri, projek yang menelan belanja RM23 juta itu  dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi iaitu 2017.

Selain Terengganu, enam lagi negeri yang telah mempunyai Wisma Audit masing-masing ialah Perak, Pahang, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman percaya, pembangunan kawasan tersebut adalah selaras dengan rancangan kerajaan negeri untuk membangunkan Bandar Baharu Bukit Besar/Padang Hiliran yang akan menempatkan jabatan kerajaan negeri dan persekutuan secara berpusat selepas ini.

“Setakat ini, sebanyak 12 jabatan telah selesai membuat pengambilan tanah untuk pembangunan bangunan masing-masing dan Jabatan Audit Negara Negeri Terengganu adalah jabatan terawal yang membuat pengambilan balik tanah dan yang kedua memulakan pembinaannya selepas Jabatan Kimia negeri.

“Kawasan bandar baharu ini akan menempatkan Jabatan Kerajaan Persekutuan dan negeri secara berpusat yang bertujuan memberikan kemudahan kepada rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan kerajaan dengan cepat, lancar dan mudah.

“Malah, pembangunan di kawasan ini juga meliputi kawasan komersial, perumahan dan juga pengangkutan,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Mohd Zubir Embong.

Jelas Ahmad Razif  berkata, bagi menyokong pembangunan wisma itu, kerajaan negeri menyediakan laluan sementara bagi kegunaan dalam urusan pembinaan.

Tambahnya, dengan pembinaan wisma itu, akan menjadi pendorong kepada jabatan lain yang memiliki tanah di kawasan itu untuk melakukan tindakan serupa.

Katanya, pada masa sekarang pegawai audit di Terengganu berada di dua tempat, iaitu di Wisma Persekutuan dan di bangunan yang disewa di Pusat Niaga Paya Keladi, Kuala Terengganu.

“Amat wajar Wisma Audit ini dibina agar pegawai berada dalam satu bumbung dan memudahkan urusan pentadbiran dan pengurusan jabatan,” katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger