Home » » Bapa, anak ditahan jual air ketum

Bapa, anak ditahan jual air ketum

Written By aku on Monday 28 December 2015 | 1:04 pm


KAMPUNG RAJA - Kegiatan seorang lelaki dan anaknya yang menjadikan sebuah rumah di Kampung Gong Dasar dekat Jabi di sini sebagai tempat menjual air ketum terbongkar hasil serbuan sepasukan polis daripada Pasukan Khas Spider Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah.

Ketua Polis Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, polis yang bertindak atas maklumat dan risikan melakukan serbuan terhadap rumah berkenaan.

Menurutnya, dalam serbuan kira-kira jam 1.20 petang itu, polis menjumpai satu bekas plastik berwarna merah, di dalamnya terdapat 200 bungkusan plastik cerah diikat dengan gelang getah berisi cecair dipercayai air ketum di atas lantai dalam stor rumah berkenaan.

“Air ketum tersebut dipercayai dijual di sekitar kampung berhampiran rumah suspek dan siasatan awal mendapati suspek menjual air ketum yang diproses itu dengan harga RM3 sebungkus dan nilai rampasan keseluruhan adalah RM600.

“Polis telah menahan pemilik rumah yang merupakan seorang buruh berusia 42 tahun bersama anak lelakinya berusia 16 tahun,” katanya.

Khaled berkata, bagaimanapun saringan air kencing terhadap kedua-duanya mendapati mereka negatif dadah.

Dalam kes berasingan, sepasukan anggota Balai Polis Jertih diketuai ketuanya Asisten Superintendan Kamarul Hamizi Zakaria berjaya merampas satu guni mengandungi daun dipercayai daun ketum dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Kolam dekat Bukit Kenak di sini.

Beliau berkata, ketika melakukan serbuan kira-kira jam 5.30 petang di sebuah rumah tidak bernombor itu, polis telah menemui satu guni berwarna putih mengandungi daun tersebut yang belum diproses.

“Polis turut menemui satu periuk di dalamnya mengandungi daun disyaki rebusan air ketum dan polis menahan tiga lelaki  berusia 16, 17, dan 27 tahun di rumah berkenaan untuk membantu siasatan,” katanya.

Khaled berkata lagi, saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine (pil kuda) dan kedua-dua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Beliau berkata lagi, polis turut memandang serius isu penjualan air ketum di daerah ini dan usaha membanterasnya akan dilakukan secara berterusan.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger