Home » » Pantau Kebebasan Media Sosial, Elak Burukkan Pemimpin Negara- Haron Din

Pantau Kebebasan Media Sosial, Elak Burukkan Pemimpin Negara- Haron Din

Written By aku on Saturday 5 December 2015 | 7:57 pm


KUALA LUMPUR – Kebebasan media sosial tanpa kekangan hingga boleh menggugat kedudukan agama Islam dan institusi diraja negara ini melahirkan kebimbangan buat Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din.

Tegas beliau, perkembangan dalam negara yang menyaksikan media sosial digunakan sebagai platform memburuk-burukkan individu lain perlu dikekang.

"Perkembangan media sosial yang memberi kebebasan seluas-luasnya kepada pengguna yang diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk memburukkan segala apa yang mereka rasa buruk pada pandangan mereka.

"Adapun kepada emosi mereka maka timbullah tuduhan yang tidak baik bukan sahaja kepada ulama malah kepada Islam itu sendiri bahkan melibatkan raja-raja dan pemimpin," katanya.

Memetik laporan Antarapos, Haron berkata kerajaan perlu memberi perhatian terhadap perkara itu selain mencari penyelesaian agar media sosial tidak disalahguna untuk kepentingan pihak tertentu.

"Jika dibiarkan ia semakin mendatangkan keburukan kepada masyarakat khasnya kepada agama kerana itu patutlah diambil perhatian dan dicari penyelesaian," katanya.

Tambahnya lagi, sekatan dan pemantauan berterusan perlu dilakukan agar tindakan memburukkan pemimpin negara di laman sosial dapat dikurangkan.

"Harapan mutlak itu perlulah kepada satu usaha yang murni ke arah memahamkan masyarakat dan kepada media bahawa kemudahan itu sepatut diguna untuk kebaikan.

"Adapun menyatakan keburukan orang dalam media terbuka itu adalah ghibah," katanya.

Mengulas lanjut, Haron yang juga pengamal perubatan Islam berkata, Islam tidak mengajar serta menggalakkan umatnya bersikap demikian.

"Ghibah ialah kerja memburuk-burukkan orang itu tidak dibenarkan oleh Islam," katanya.

Menurut Haron lagi, pencegahan perlu dilakukan pihak kerajaan sebagaimana tindakan yang dikenakan ke atas individu yang menyebarkan fitnah.

"Kalau fitnah memanglah bukan sahaja Islam tidak benarkan malah undang-undang juga tidak benarkannya.

"Jadi kalau kita balik kepada hukum Islam memanglah hal seperti itu perlu ada pencegahan," katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger