Hadiah 20 Rumah Mampu Milik Sempena Deepavali
Written By aku on Wednesday, 19 October 2016 | 12:25 pm
Kerajaan negeri bersetuju memperuntukkan 20 unit Rumah Mampu Milik (RMM) kepada kaum India di Terengganu yang berkelayakan sebagai hadiah sempena sambutan perayaan Deepavali 2016.
Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan kaum itu dan tiada sebarang masalah untuk mengagihkan RMM kepada mereka yang memerlukan dan menepati syarat mendapat bantuan kemudahan itu.
“Bermula tahun hadapan, sebanyak 20,000 rumah akan mula dibina termasuk RMM, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan sebagainya. Kita bersetuju untuk memperuntukkan 20 rumah bekenaan kepada kaum India di Terengganu,” katanya.
Beliau menyampaikan berita gembira itu ketika berucap sempena Majlis Malam Deepavali 2016 di Primula Hotel, Kuala Terengganu, malam tadi.
Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Mohd Zubir Embong; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Negeri, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof.
Dalam ucapannya, Ahmad Razif turut berharap agar komuniti India di negeri ini dapat bekerjasama dengan lebih erat bersama kerajaan negeri dalam meningkatkan ekonomi, taraf hidup dan pembangunan Terengganu.
Pada majlis tersebut, Menteri Besar turut menyampaikan Bantuan Dana Deepavali berjumlah RM91,000 kepada 260 penerima.
Labels:
Semasa