Kini pemuda ini kesunyian berjalan bersendirian menjaja makanan ringan setelah bapanya meninggal dunia beberapa bulan lalu. Gambar kecil: Allahyarham Yusof. |
JERTIH - Dahulu, anak muda ini sering dilihat berjalan kaki berdua sambil memimpin tangan bapanya yang cacat penglihatan di sepanjang jalan menjual kerepek dan keropok, kini hanya dia keseorangan meneruskan perniagaan itu.
Muhammad Yuzairi Yusof, 26, berkata, sejak lima bulan lalu, dia berjalan kaki berseorangan tanpa bapanya, Yusof Muhammad, 60, menjual serba sedikit makanan ringan tersebut.
Menurutnya, ketika bersama bapa, dia sering berbual-bual sambil memimpin tangan bapanya dan sebelah tangan lagi membibit plastik barangan jualan.
Maklumlah bukan dekat-dekat mereka berjalan kaki, boleh dikatakan lebih 10 kilometer sehari pergi dan pulang dari rumah mereka di Kampung Bukit Awang, Pasir Putih, Kelantan yang terletak bersempadan dengan Kampung Air Terjun, di sini.
Namun mereka bernasib baik jika ada insan berhati mulia sudi menumpangkan mereka menaiki kenderaan hingga ke bandar Jertih atau pulang.
Ketika terik mentari pula, Muhammad Yuzairi akan memayungi ayahnya dan tangan yang sama membibit plastik dengan diletakkan di celah perlipatan sikunya sementara bapanya juga membawa satu beg plastik.
“Sekarang saya tidak dapat berbakti lagi kepada ayah. Ayah sudah meninggal dunia seminggu sebelum Ramadan tahun ini selepas menderita lumpuh lebih sebulan sejak diserang angin ahmar.
“Saya agak sunyi berjalan berseorangan kerana tiada ayah di sisi tetapi walau apa pun saya perlu terus berusaha mencari rezeki membantu ibu, Limah Musa, 58, yang juga cacat penglihatan,” kata Muhammad Yuzairi yang juga menghidapi masalah penglihatan kabur.
Bapa tak mahu minta sedekah
Muhammad Yuzairi berkata, mana mungkin dia tidak rindukan bapanya kerana dia berjalan kaki memimpin dan menemaninya bapanya sejak dia berusia sembilan tahun lagi.
Menurutnya, selepas berhenti sekolah setakat Darjah 3, dia terus berjalan kaki memimpin bapanya menjaja beberapa jenis kerepek seperti kerepek pisang, ubi, popia dan keropok yang dibekalkan pengusaha.
“Selama 17 tahun saya dan ayah berjalan kaki beriringan tangan menjaja sehingga ke bandar Jertih atau Kuala Besut, Pasir Putih dan Machang tetapi tiba-tiba ayah tidak ada. Tapi sebelum ini pun ayah dah penat umurnya 60 tahun tetapi berjalan kaki berkilometer.
“Walaupun dalam usia itu, ayah tetap mahu berjalan untuk menjaja kerana dia kata tidak mahu meminta sedekah sebaliknya ingin berusaha dengan kudrat sendiri walaupun dalam serba kekurangan,” kata anak keempat daripada lima beradik ini.
Hasil jualan merosot
Katanya, walaupun dia dan ibunya memperoleh bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun selepas ketiadaan bapa, dia perlu menjaja beberapa kali seminggu untuk menambah pendapatan termasuk menanggung seorang adiknya yang masih bersekolah di Tingkatan Lima.
Cuma katanya, sejak berseorangan, hasil jualan tidak sebaik ketika menjaja bersama bapa dulu kerana sering kali kerepek yang dibawa tidak habis dijual.
“Dulu mungkin orang ramai lebih bersimpati kerana ada ayah bersama tetapi sekarang sejak saya berjalan seorang diri mungkin perasaan itu tidak ada lagi menyebabkan mereka tidak tergerak hari untuk membeli kerepek saya.
“Biarpun begitu kadang-kadang masih ada insan yang bersimpati sehinggakan ada individu yang memborong kesemua kerepek yang sama bawa,” katanya.
Katanya, sejak dulu ayahnya mendidik dia agar jangan sesekali meminta sedekah sebaliknya perlu berusaha namun kalau ada pihak secara sukarela ingin bersedekah atau menghulurkan bantuan dia menerimanya.
Menurutnya lagi, disebabkan masalah penglihatan kabur yang dihadapinya sekarang menyebabkan dia terpaksa berjalan kaki perlahan-lahan dan penuh berhati-hati.
“Saya berterima kasih kepada orang ramai khususnya yang pernah dan sering memberi kerepek saya jual dan juga pemilik kenderaan yang menumpang saya,” kata yang memperoleh keuntungan bersih sekitar RM15 sehari hasil jualan kerepek tersebut.
Katanya, rutin setiap kali keluar menjaja, dia akan berjalan kaki dari rumahnya menuju ke jalan utama Kuala Terengganu - Kota Bharu yang terletak kira-kira tiga kilometer.
Tetapi lazimnya ada penduduk kampung yang menumpangkan keluar sehingga ke jalan utama dan dia akan memulakan berjalan kaki ke arah bandar Jertih atau Pasir Putih.