Home » » Dadah: Sepasang suami isteri ditahan

Dadah: Sepasang suami isteri ditahan

Written By aku on Thursday 2 March 2017 | 6:47 pm


BESUT - Sepasang suami isteri disyaki pengedar dadah ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah kedai di Kampung Pasir Akar, Hulu Besut petang semalam.

Dalam serbuan jam 3 petang itu, polis menahan pasangan tersebut yang mempunyai seorang bayi perempuan berusia enam bulan selepas pasukan serbuan menemui dadah jenis pil kuda bernilai kira-kira RM2,550 di premis terbabit.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, dalam serbuan itu polis menemui satu bekas plastik yang berada di bahagian kabinet dapur rumah tersebut.


Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati ia mengandungi 16 straw dan setiap satu straw mengandungi 10 biji  pil manakala satu tiub straw mengandungi sembilan biji pil dan satu biji pil berasingan yang kesemuanya berjumlah 170 biji dipercayai dadah jenis pil kuda .

“Kedua-dua suspek yang menjalankan perniagaan kedai makan dipercayai menjual dadah kepada penagih yang datang ke kedainya untuk mendapat bekalan.

“Suspek lelaki berusia 25 tahun dan isterinya 29 tahun dikatakan mula terbabit dalam kegiatan tersebut sejak tahun lepas,” katanya.

Mohd Zamri berkata, kedua-dua suspek ditahan reman untuk membantu siasatan dan saringan air kencing mendapati mereka negatif dadah.

Menurutnya, anak mereka terpaksa berada bersama suspek perempuan kerana bayi tersebut masih menyusu badan.

“Siasatan awal suspek memberitahu menjual pil kuda tersebut dengan harga RM15 sebiji dan harga berbeza sekiranya membeli dalam kuantiti banyak sementara isterinya membantu menjual dadah tersebut jika suaminya tidak ada di rumah.

“Suspek dipercayai mendapatkan bekalan dadah daripada dua pengedar dadah di kawasan Hulu Besut dan kali terakhir berurusan pada 20 Februari lepas,” katanya.

Mohd Zamri berkata, kes disiasat di  bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun serta hukuman sebat tidak kurang 3 sebatan tetapi tidak lebih daripada 9 sebatan jika disabitkan kesalahan.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger