Home » » Penagih masih tak serik

Penagih masih tak serik

Written By aku on Saturday 4 March 2017 | 10:07 pm

Suspek (tengah) yang pernah mengikuti program perintis pemulihan ditangkap bukan sahaja kerana menagih tetapi dipercayai turut menjadi pengedar dadah.

KAMPUNG RAJA - Seorang penagih yang pernah mengikuti projek perintis pemulihan dadah tahun lepas diberkas sekali lagi dipercayai mengedar dadah dalam satu serbuan di Kampung Bukit Kenak dekat Pasir Akar, di sini, semalam.

Lelaki berusia 38 tahun itu diberkas selepas polis menemui 100 pil dipercayai dadah jenis pil kuda di sebuah rumah tidak bernombor kira-kira jam 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Besut menyerbu rumah tersebut dan pemeriksaan ke atas suspek menemui satu plastik mengandungi sepuluh tiub.


Menurutnya, setiap satu tiub mengandungi sepuluh pil kuda dan keseluruhan sebanyak 100 biji yang bernilai kira-kira RM1,500.

“Suspek seorang penganggur pernah mengikuti program pemulihan secara sukarela di sebuah hospital universiti bagi menghilangkan ketagihan sejak April hingga Ogos tahun lalu selepas ditahan pihak berkuasa kerana menagih dadah.

“Walaupun telah mengikuti program tersebut tetapi suspek didapati tetap mengulangi perbuatan tersebut malah bagi menampung ketagihan, kini suspek turut membabitkan diri dalam pengedaran dadah bermula November tahun lalu,” katanya.

Mohd Zamri berkata, suspek dipercayai mula terlibat dalam penagihan dadah sejak 15 tahun lalu selepas tamat persekolahan.

Menurutnya, suspek yang didapati positif saringan air kencing mempunyai dua rekod jenayah lampau kerana kesalahan menagih dadah pada 2013 dan 2014.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, seorang wanita berusia 29 tahun ditahan bersama suaminya serta seorang bayi perempuannya berusia enam bulan yang masih menyusu badan dipercayai mengedar dadah dibebaskan dengan jaminan petang kelmarin.

Menurutnya, suspek perempuan ditahan semalam di lokap bersama bayinya kerana menyusu badan namun dia dibebaskan dengan jaminan sementara polis melengkapkan kertas siasatan.

“Namun suaminya yang berusia 25 tahun masih ditahan untuk siasatan lanjut.

"Pasangan yang mengusahakan kedai makan itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Pasir Akar, Hulu Besut dan merampas sebanyak 170 pil kuda," katanya.

-- sinar harian
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger