Lelaki mengamuk di kedai makan
Written By aku on Monday, 23 December 2013 | 10:28 am
BESUT - Seorang lelaki dipercayai sedang gian kerana tidak berjaya mendapat bekalan dadah mengamuk dan membuat kacau di sebuah kedai makan sehingga mendatangkan kecederaan kepada anak lelaki pengusaha kedai berkenaan.
(Gambar Sekadar Hiasan)
Dalam kejadian jam 9.15 pagi, Sabtu lalu, suspek berusia 23 tahun dari Seberang Jertih dikatakan bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan mangsa berusia 37 tahun yang mengarahkan suspek keluar dari kedai makan milik bapanya di Kampung Padang Luas, di sini
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, suspek didakwa telah membuat kacau di kedai tersebut menyebabkan mangsa meminta suspek balik ke rumahnya, namun begitu suspek tersebut enggan.
“Setelah beberapa kali disuruh balik menyebabkan suspek marah kemudian bertindak mengangkat kerusi lalu memukul mangsa.
“Mangsa cuba menahan pukulan tersebut, namun kaki kerusi mengenai sedikit bahagian muka mangsa sehingga menyebabkan kecederaan kecil,” katanya.
Kamaruddin berkata, selepas memukul mangsa, suspek beredar dari kedai tersebut dan mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Jertih.
Katanya, bertindak atas laporan, sepasukan polis berjaya memberkas suspek pada hari sama di tepi jalan di Kampung Seberang Jertih tidak jauh dari lokasi kejadian.
"Motif kejadian dipercayai kerana suspek tidak berpuas hati mangsa menyuruhnya balik ke rumah, bagaimanapun siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.
--sinar
Labels:
Jenayah