Tergamam depan van terbakar
Written By aku on Monday, 23 December 2013 | 11:15 am
PASIR MAS – Seorang kanak-kanak kaku di depan van apabila mendapati kenderaan milik bapanya terbakar dekat Kampung Repek, jam 5.25 petang, semalam.
Tindakan pantas sepupunya, Mohd Zulkifli Alias, 27 dengan mengheret Ahmad Akmal Zahidi, 12, berjaya menyelamatkan nyawanya daripada menjadi korban.
“Selepas melihat kepulan asap dan api pada van, saya mengarahkan Akmal beredar kerana api mula marak, namun dia seakan tergamam kerana terkejut dengan kejadian yang berlaku.
“Saya menjerit meminta pertolongan daripada orang kampung dan mengeluarkan van daripada stor agar api tidak membakar barangan runcit,” katanya.
Sementara itu, Zahidi Muhamad, 45, berkata, dia yang baru sahaja pulang memandu van terbabit meletakkannya di dalam stor menyimpan barangan runcit.
“Kemudian saya meminta anak sulung saya, Akmal untuk menjaga stor sementara saya ke kedai dekat sini.
“Setelah melihat kepulan asap, saya hanya memikirkan keselamatan Akmal kerana dia berseorangan di dalam stor terbabit. Mujurlah anak saudara saya sempat menyelamatkannya,” katanya.
Dalam pada itu, Zahidi turut mengucapkan terima kasih kepada penduduk kampung yang membantu pihak Bomba dan Penyelamat Pasir Mas memadamkan api dengan mengambil air dari tangki rumah jiran.
Menurutnya, dia mengalami kerugian sebanyak RM50,000 namun bersyukur kerana berbekalkan bantuan semua pihak, dua rumah berdekatan tempat kejadian sempat diselamatkan.
Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba, PBK II Ruslan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.27 petang.
“Kita bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan lima anggota menggunakan satu jentera.
“Setibanya di tempat kejadian kita dapati van terbabit terbakar hampir 90 peratus malah api turut merebak sehingga ke dalam stor. Punca dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Labels:
Semasa