Home » » Najib paut bahu Muhyiddin, ada yang sebak

Najib paut bahu Muhyiddin, ada yang sebak

Written By aku on Sunday 13 December 2015 | 12:11 am


KUALA LUMPUR - Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini bersalaman dengan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin usai menyampaikan ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Umno sebagai tanda perdamaian.

Beliau berhenti dan bersalaman seketika dengan Muhyiddin sambil tangan kiri yang memegang teks ucapannya dipautkan ke belakang tubuh timbalannya itu.

Sempat mengangkat sedikit tangan mereka yang bertaut itu lebih tinggi sebagai menunjukkan kepada para perwakilan, kedua-duanya dilihat tersenyum.

Aksi itu mendapat 'standing ovation' daripada seluruh perwakilan.

Najib turut bersalaman dengan Naib Presiden, Datuk Seri Shafie Apdal yang turut dilihat menentangnya sebelum ini.

Kemudian beliau turun ke bawah pentas untuk bersalaman dengan para perwakilan.

Kelmarin, perwakilan Pulau Pinang meminta agar Najib, Muhyiddin dan naib-naibnya bersalaman serta berpelukan di atas pentas sebagai tanda berbaik-baik semula selepas dilihat percanggahan pendapat.

Sebelum itu, Najib dengan penuh semangat menghulurkan salam perdamaian kepada pemimpin dalam parti yang tidak seiring dan sejalan dengannya.

"Bahawa saya Najib Razak sebagai Presiden Umno memilih untuk berjiwa besar. Saya buka pintu dan jendela hati menghulurkan silaturahim kepada semua untuk kita dapat bersatu dan kembali mengukuhkan ikatan Umno," katanya yang disambut dengan tepukan gemuruh.

Para perwakilan yang ada di dalam Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) itu turut bangun berdiri sebagai tanda sokongan.

Pengerusi Tetap, Tan Sri Badruddin Amirudin dan Ketua Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin serta beberapa perwakilan tersorot dek kamera sedang menangis dan mengusap air mata.

Persidangan kali ini agak tegang apabila hubungan antara presiden dan timbalan presiden parti itu dilanda kontroversi.

Sepanjang dua hari perbahasan berlangsung kebanyakan pembahas meminta agar kedua-dua pemimpin mereka kembali berdamai.

Najib dalam nada tegas menyambung ucapannya itu mengingatkan kepada mana-mana pihak yang masih menolak untuk berdamai bakal berdepan dengan tindakan.

"Dengan ini saya mahu nyatakan, seandainya mana-mana pihak mahu menolak dan bertelagah, faham baik-baik.

"Ini bukan soal peribadi, bukan tentang saya sebagai presiden, tetapi mereka tolak untuk cari titik pendamaian, mereka (bermakna) menolak keputusan syura Umno," katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger