Home » » Terengganu Meterai Mou Bekal Air Terawat Kepada Kelantan

Terengganu Meterai Mou Bekal Air Terawat Kepada Kelantan

Written By aku on Monday 21 December 2015 | 2:27 pm


Kerajaan Terengganu melalui anak syarikatnya, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama bagi membekalkan air terawat syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) kepada 1,200 pemegang akaun di Kelantan.

Perjanjian itu bagi mengatasi masalah bekalan air melibatkan 600 pemegang akaun AKSB di Semarak dan selebihnya di Bukit Yong dengan anggaran penggunaan 150 ribu meter padu sebulan.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, penjualan air terawat itu bersifat jangka pendek sementara menunggu siapnya projek naik taraf Logi Rawatan Air Merbau Chondong di Machang yang dijangka siap pada hujung 2016.

“Namun, kita tiada masalah untuk meneruskan penjualan air ke Kelantan kerana Terengganu mempunyai lebihan air terawat di Logi Air Bukit Bunga, Besut.

“Bukit Bunga mampu bekalkan 90 juta liter sehari (MLD) air terawat sehari pada masa kini. 50 MLD kita guna di Besut dan masih ada baki sebanyak 40 MLD.

“Dalam MoU ini, kita setuju bekalkan ke Kelantan sebanyak 10 MLD termasuk 2.5 MLD untuk kegunaan komersil di Pelabuhan Tok Bali. Ia mampu memberi manfaat kepada 450,000 pengguna di Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Air Secara Pukal Antara SATU dan AKSB di Tok Aman Bali Beach Resort, Pasir Putih.

Majlis bersejarah itu disaksikan Ahmad Razif dan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yaakob.

Perjanjian itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ir. Atemin Sulong dan Pengarah Eksekutif AKSB, Sanusi Othman.

Sementara itu, Ahmad Yaakob berkata, kadar harga yang dipersetujui adalah tidak berasaskan keuntungan tetapi di atas semangat persaudaraan serta tolong-menolong.

“Justeru ini, Kerajaan Kelantan mengucapkan terima kasih di atas sikap prihatin Kerajaan Terengganu dalam membantu mengatasi masalah bekalan air di Jajahan Pasir Putih”, ujarnya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger