Kampung Selut Bakal Terima Nasib Seperti Kampung Assam Dan Kampung Buah Pala?
Written By aku on Monday, 21 December 2015 | 10:38 am
JELUTONG, 17 Dis – Ketua UMNO Bahagian Jelutong Abdul Razak Abdul Rahaman menimbulkan persoalan adakah tragedi Kampung Pokok Assam dan Kampung Buah Pala bakal berulang kembali. Kali ini, adakah Kampung Selut pula menerima natijah daripada sikap kerajaan negeri yang terlalu ‘mesra’ pemaju sehinggakan langsung tidak mempedulikan nasib rakyat yang mengundi mereka.
Jelasnya, Kampung Selut yang dihuni oleh lima ribu penduduk bakal hilang tempat tinggal apabila perkampungan mereka dikatakan bakal ‘dirampas’.
“Inilah yang terpaksa ditelan oleh rakyat golongan bawahan di negeri pimpinan Dap. Masalah perumahan memang menjadi masalah utama di Pulau Pinang ini. Baik Cina, India mahupun Melayu yang berpendapatan rendah, memang sukar untuk membeli rumah di negeri ini kerana harganya yang terlalu mahal.
“Kini rumah sedia ada pula bakal hilang. Sedar tidak sedar sejak dua penggal Dap memerintah di Pulau Pinang, sudah banyak perkampungan yang hanya tinggal nama. Tidakkah ada belas kasihan di hati kerajaan negeri terhadap rakyat yang menaruh sepenuh kepercayaan kepada mereka.
“Mengapa golongan pertengahan dan bawahan seperti melukut di tepi gantang di negeri ini. Kampung Selut ini adalah belas ehsan kerajaan terdahulu iaitu Barisan Nasional (BN) malah semasa pemerintahan BN, penduduk telahpun diberi persetujuan untuk membeli rumah tersebut. Tetapi bila bertukar kerajaan negeri, semuanya hilang,” ujarnya kepada UMNO-Online.
Tambah Razak, penduduk telahpun mencuba untuk berbincang dengan Majlis Perbandaraan Pulau Pinang (MPPP) bagi meneruskan usaha jual beli namun ianya hanya sia-sia dan tiada jalan penyelesaian.
Beliau turut mendesak agar Ketua Menteri Lim Guan Eng mendengar suara dan rintihan penduduk di kampung ini.
“Janganlah hanya kerana wang dan keuntungan, pemaju terus ditatang bagai minyak yang penuh sedangkan penduduk yang mengundi dibiarkan tersisih.
“Sekiranya kerajaan negeri tetap mahu majukan kampung ini maka kena fikirkan semula nasib penduduk dan bagilah pampasan yang setimpal. Sekarang ini rakyat menghadapi tekanan dengan kos sara hidup yang tinggi kini ditambah pula dengan masalah rumah.
“Hidup penduduk di kampung ini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Saya amat berharap Guan Eng pandanglah kami di bawahan ini. Jangan terus mendongak langit kerana bila rakyat bangkit, kerajaan negeri pasti akan menyesal,” katanya lagi. – MediaUMNO
Labels:
Politik