KOTA BHARU - Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman mengesahkan menarik balik produk kecantikannya, Qu Puteh Whitening Pro 9 dan Qu Puteh Whitening UV Block di pasaran Malaysia dan Brunei berkuatkuasa serta merta.
Hasmiza atau lebih dikenali Dr Vida berkata, kedua-dua produk berkenaan ditarik balik sebaik tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan, kita tarik balik kedua-dua produk ini,” katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Qu Puteh Whitening Pro 9 tidak lagi dibenarkan dijual]
Datuk Seri Vida berkata, pihaknya sudah menghentikan seketika pengeluaran dan penjualannya di Malaysia dan Brunei berkuatkuasa hari ini (semalam).
“Kita akan menghantar sampel produk itu ke KKM untuk diadakan ujian buat kali kedua bagi mengesahkan keselamatannya terhadap pengguna,” katanya.
Usahawan terkemuka itu turut menegaskan produk dihasilkan tidak mendatangkan bahaya atau kesan sampingan lain kerana ia tidak mengandungi campuran bahan kimia.