JERTIH- Seorang lelaki nyaris maut selepas ditikam dua kali di bahagian dada di hadapan rumahnya di Kampung Gong Bayor, dekat sini, Khamis lalu.
Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira jam 2.10 petang itu, mangsa berusia 52 tahun itu bernasib baik kerana tikaman suspek tidak mengenai sebarang organ penting.
Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Kamsani Hasan berkata, tikaman suspek tersasar hanya beberapa sentimeter daripada jantung mangsa.
Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa yang bekerja sendiri didatangi seorang lelaki menaiki sebuah kereta Perodua Viva berwarna putih.
“Sebaik keluar dari rumah, suspek bertindak menikam dada dan pinggang mangsa dengan senjata tajam di hadapan rumahnya di Kampung Gong Bayor.
“Mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Besut. Keadaannya dilaporkan stabil dan kini ditempatkan di wad hospital berkenaan,” katanya.
Kamsani berkata, mangsa mengalami kecederaan di bahagian dada dengan kesan dua tikaman pada bahagian kiri dan kanan dada.
Menurutnya, usaha memburu suspek yang telah dikenal pasti giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan berasingan, pegawai dan anggota polis Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Jertih diketuai Ketua Balai Polis Jertih, Asisten Superintendan Kamarul Hamizi Zakaria berjaya memberkas tiga lelaki disyaki aktif mencuri kenderaan dan pecah cermin kereta.
Kamsani berkata, ketiga-tiga suspek berusia 17 hingga 27 tahun itu diberkas di sebuah rumah di Taman Pelagat Utama, Padang Luas, Jertih kira-kira jam 4.30 pagi.
“Hasil pemeriksaan di rumah tersebut, polis menemui sebuah komputer riba, satu telefon bimbit, papan nombor pendaftaran kenderaan dan beberapa barangan lain.
“Berdasarkan nombor siri pada komputer dan telefon tersebut didapati ia dilaporkan dicuri,” katanya.
Beliau berkata lagi, dua suspek beralamat di Kelantan, sementara suspek berusia 17 tahun beralamat di Jertih.
Kesemua mereka direman untuk siasatan lanjut.