BESUT: Penderitaan adik Muhammad Syafi Mohd Syahrizan, 7 dari Kampung Padang Landak, dekat sini telah mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Jerteh, Datuk Pahemi Yusof yang menziarahi beliau semalam.
Pehemi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menyumbang sebuah kerusi roda khas bagi kegunaan Muhammad Syafi yang menghidap penyakit kanser tulang sejak lebih setahun yang lalu.
Sumbangan itu dianggap bermakna bagi kanak-kanak tersebut yang dapat membantunya bergerak lebih baik.
“Kita berharap, bantuan ini akan dapat meringankan beban adik Syafi dan saya doakan agar beliau akan cepat sembuh.
“Kami semua mendoakan buat beliau,” katanya kepada Detikmalaysia, di sini pada Selasa.
Pada kunjungan itu, Pahemi turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada kanak-kanak tersebut.