Home » » Doktor terkejut klinik dirompak

Doktor terkejut klinik dirompak

Written By aku on Wednesday, 20 January 2016 | 10:51 am


JERTIH - Seorang doktor lelaki terkejut apabila mendapati klinik yang diusahakannya di Kampung Mak Sara, di sini  dipecah masuk pencuri ketika beliau ke klinik tersebut pagi semalam.

Doktor berusia 43 tahun itu terperanjat apabila mendapati bahagian pintu utama dan pintu cermin klinik telah pecah sebaik beliau tiba di klinik tersebut kira-kira jam 7.15 pagi.

Ketua Polis Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, doktor terbabit mendapati tempat letak ibu kunci pintu utama (rollershutter) telah dipotong sementara serpihan kaca bertaburan di bahagian depan klinik.

Menurutnya, mangsa masuk ke dalam klinik dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati tabung derma sebuah pondok di Jabi yang berisi wang tunai hasil sumbangan orang ramai khususnya pelanggan kira-kira RM300 hilang dipercayai dilarikan suspek.

“Tabung tersebut diletakkan di bahagian kaunter pendaftaran namun suspek didapati tidak menceroboh masuk bahagian bilik doktor atau menyelongkar bahagian lain.

“Sementara itu tidak ada barangan lain termasuk ubat-ubatan yang hilang dari klinik tersebut,” katanya dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 5.40 pagi itu.

Khaled memberitahu lagi, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Jertih selepas menyedari kejadian itu semalam.

Beliau berkata lagi, wajah suspek yang memakai topi itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di klinik berkenaan bermula ketika mula suspek memecah pintu klinik. 

Katanya lagi, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah  kedai.

Dalam pada itu, Khaled mengesahkan tiga kejadian pecah kedai lain yang dipercayai awal pagi semalam iaitu masing-masing sebuah kedai kek di sebelah klinik terbabit, sebuah kedai di bandar Jertih dan di Padang Luas.

Menurutnya, kehilangan di kedai kek dan di Padang Luas membabitkan kerugian yang kecil sementara di bandar Jertih membabitkan kehilangan sebuah komputer.

Khaled juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau suspek boleh menghubungi mana-mana balai polis yang berhampiran.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger