Home » » Jiwa terpahat di Pulau Duyong

Jiwa terpahat di Pulau Duyong

Written By aku on Monday, 2 May 2016 | 12:09 pm


JIKA 40 tahun lalu, beliau datang dari benua yang berbeza, berkomunikasi dalam bahasa yang seratus peratus berbeza, ia ibarat satu daripada 1001 kisah yang ditempuh Christine Rohani Longuet, 63, sehingga menjadi sebahagian warga Pulau Duyong, Kuala Terengganu.

Terkenal dengan jolokan Puan Rohani, Christine Rohani Longuet yang berasal dari Perancis mulanya berkunjung ke Pulau Duyong yang pada asalnya sebuah pulau yang terletak berhampiran muara Sungai Terengganu ini bagi menempah sebuah kapal.

Mengimbau kembali cerita lama bagaimana boleh sampai ke sini, katanya, dia telah meninggalkan kampung halamannya di Paris untuk mendalami sendiri cara-cara pembuatan bot daripada tukang bot mahir di Pulau Duyong bagi membolehkan dia belayar ke seluruh dunia.

Minat mendalam dalam dunia pelayaran dan pembuatan bot bagi membolehkan dia bersama anaknya mengembara dan belayar ke seluruh dunia membawa Rohani ke Pulau Duyong.

“Melalui pembacaan saya daripada sebuah buku yang ditulis dalam bahasa Perancis, saya dapat tahu di Pulau Duyong ada tukang bot mahir yang boleh saya berkongsi ilmu bagaimana menghasilkan sebuah kapal yang hebat menggunakan kayu yang kukuh iaitu kayu cengal.

“Saya menghormati kemahiran yang ada pada tukang bot di sini. Selain perahu atau bot, saya terpikat dengan seni bina rumah tempatan di sini yang mempunyai nilai estetika yang tinggi. Saya juga terpikat dengan keindahan dan alam semula jadi dan seterusnya memutuskan untuk tinggal di sini,” katanya.

Jatuh cinta anak imam

Sebelum menetap di Pulau Duyong, ibu kepada lapan anak dan 24 cucu ini berkata, dia memulakan pelayaran sehingga ke Vietnam selepas menempah bot daripada pembuat bot mahir di Pulau Duyong, namun perjalanan tergendala disebabkan perang di wilayah itu pada 1971.

“Saya tidak dapat meneruskan perjalanan dan terpaksa berpatah balik ke Pulau Duyong. Pada masa itu, dijadikan cerita, saya mengenali suami saya, Wan Othman Wan Abdullah, 63, yang merupakan anak kepada salah seorang imam di sini pada ketika itu.

“Pelbagai cabaran ditempuh, sebagai orang luar saya rasa gembira ada yang mengambil berat keadaan saya. Dipendekkan cerita, saya jatuh cinta dengan Pulau Duyong, dengan salah seorang pembuat bot dan memutuskan untuk terus kekal di sini,” katanya yang mendirikan rumah tangga pada 1971.

Katanya, dia selesa dengan rumah yang didiaminya yang dibina dengan reka bentuk rumah tradisional Melayu menggunakan kayu cengal, setiap sudut dan ruang diperincikan dengan kemasan dan dihiasi dengan perabot kayu lama.

“Apa yang menarik bagi rumah tradisional Melayu, kedudukannya tinggi, dibina dengan tiang yang kukuh dan jika orang lalu lalang di bawah tidak boleh nampak kita di atas.

“Bagi saya, ia memberikan satu kehidupan dan privasi kepada penghuninya. Dengan ruang udara yang selesa dengan tiupan angin semula jadi tidak perlu menggunakan penyaman udara, ia benar-benar satu kehidupan yang perlu dinikmati,” katanya.

Selesa bercakap Melayu

Pada pertemuan selama hampir satu jam itu, Rohani lebih banyak bertutur dalam bahasa Melayu diselangi sedikit dialek Terengganu dan campuran bahasa Inggeris.

Mengakui wanita Perancis agak cerewet menilai sesuatu perkara, Rohani berkata, setelah menetap di Pulau Duyong dia telah boleh menerima bahasa dan dialek pertuturan orang Terengganu yang pada mulanya disifatkan sebagai sesuatu yang agak ‘pelik’.

“Bahasa Terengganu agak sukar dengan tambahan ‘ng’ di belakang setiap perkataan, dengan nada bahasanya yang agak sukar untuk saya dalami dan praktik, tetapi, akhirnya, ya! Saya menikmati bahasa ini dan ia adalah Terengganu yang saya cintai,” katanya yang kini sedang dalam proses menyiapkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang etnobotani di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).


Menurut Rohani, antara kata-kata dalam bahasa Terengganu yang diminati dan diguna pakai sehingga sekarang ialah ‘nok beri jadi’ yang menunjukkan kepada sesuatu tindakan yang dilakukan sehingga bertemu hasil.

Katanya, sepanjang usianya, sebanyak tujuh buah kapal dibina bersama suami dan turut melibatkan usaha sama tukang bot mahir di Pulau Duyong antaranya Jun Bahtera yang disiapkan pada 1980.

Rohani juga merupakan seorang pengarang dan pengendali rumah tamu yang diusahakan suaminya, Awi’s Yellow House yang dibina di atas kawasan paya bakau Sungai Terengganu.

Menurutnya, antara buku yang dihasilkan ialah Puisi Duyung Pulau Rakyat, koleksi puisi tempatan, dan Amanah: Journey An Architect yang menceritakan kerja-kerja arkitek tempatan Nik Mohamed Mahmood.

“Sekarang saya dalam proses menterjemahkan buku ditulis sasterawan negara, Arena Wati berjudul Sukma Angin yang juga berkait rapat dengan dunia perkapalan dan pelayaran,” katanya.
-- sinar
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger