Home » » Polis rampas 430 pil kuda

Polis rampas 430 pil kuda

Written By aku on Monday 2 May 2016 | 11:49 am


BESUT - Polis menahan seorang lelaki berusia 23 tahun selepas menjumpai sebanyak 430 biji pil dipercayai dadah jenis methamphetamine dalam kereta dinaikinya yang diletakkan di tepi jalan Kampung Renek, dekat sini, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, sekitar jam 5 pagi, anggota polis yang melakukan rondaan di kawasan berkenaan mendapati sebuah kereta jenis Proton Perdana berada dalam keadaan mencurigakan di depan sebuah kedai makan.

Menurutnya, anggota berkenaan telah menghampiri kereta berkenaan dan mendapati seorang lelaki sedang tidur di dalamnya lalu dikejutkan.

"Anggota polis telah melakukan pemeriksaan badan dan menemui satu beg silang pada bahu suspek yang berisi satu paket plastik berwarna biru berisi 20 pil dipercayai dadah jenis methamphetamine atau pil kuda.

"Hasil pemeriksaan dijalankan, polis turut menemui satu paket plastik mengandungi pil dipercayai dadah jenis dan jumlah sama, serta satu tiub straw panjang berisi 29 pil dipercayai dadah, satu kotak rokok berisi dua paket lutsinar dan satu tiub straw berisi serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu," katanya.

Mohd Zamri memaklumkan, jumlah keseluruhan pil kuda dirampas adalah 430 biji dianggarkan bernilai RM4,000 dan polis turut merampas semua barang kes serta menahan suspek yang beralamat di Kampung Gong Duek untuk siasatan lanjut.

"Siasatan awal mendapati suspek mendapat bekalan pil kuda daripada seorang lelaki dipercayai tinggal di Pasir Puteh, Kelantan dan saringan air kencing mendapati suspek positif dadah.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan," katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger