Home » » Penduduk jumpa kabel curi

Penduduk jumpa kabel curi

Written By aku on Friday 28 October 2016 | 10:02 pm


JERTIH - Pengguna jalan raya dan penduduk Kampung Gong Nangka dekat sini gempar apabila  menemui keratan kabel dipercayai milik Telekom Malaysia sepanjang kira-kira 100 meter yang ditinggalkan di tepi jalan kampung itu kelmarin.

Kabel  berkenaan dipercayai dicuri di Kampung Bukit Kenak kira-kira 1.5 kilometer daripada lokasi kejadian dan terjatuh di situ ketika ditarik oleh pencuri.

Seorang penduduk kampung yang hanya mahu dikenali sebagai Man, 39, berkata, kabel tersebut terjatuh dan ditinggalkan pencuri setelah mereka terserempak dengan penduduk kampung ketika menarik kabel optik itu dengan sebuah kereta Proton Perdana  berwarna gelap kira-kira jam 7 pagi.

Katanya, kabel tersebut terjatuh di situ dan penjenayah berhenti di situ seketika namun penduduk kampung tidak berani menghampirinya kerana mendakwa penjenayah dipercayai bersenjata berbahaya.

“Mungkin bimbang penduduk membuat laporan kepada polis menyebabkan suspek bertindak meninggalkan kabel itu dan melarikan diri,” katanya.

Man berkata, suspek dikatakan menarik kabel tersebut daripada tempat ia dicuri sejauh 1.5 kilometer ke kawasan yang tersembunyi sebelum memotong kabel kepada keratan lebih pendek dan menggulung kemudian diisi ke dalam kereta.

Sementara itu, dalam kejadian hujung minggu operasi telefon dan internet di kawasan Seberang Jertih termasuk mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah stesen minyak di situ tergendala selama dua hari apabila kabel Telekom di kawasan  terbabit turut dicuri.

Sinar Harian difahamkan kejadian mencuri kabel Telekom di daerah ini berlaku setiap hari dalam tempoh seminggu ini malah ada kes melibatkan dua kes kecurian di lokasi berbeza dalam sehari.

Orang ramai meminta pihak berkaitan mengambil langkah yang proaktif kerana usaha yang dilakukan sekarang dilihat tidak berkesan.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger