Home » » Persempadanan semula ikut undang-undang‎

Persempadanan semula ikut undang-undang‎

Written By aku on Tuesday 18 October 2016 | 5:00 pm


KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan, isu kajian Persempadanan‎ Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini, adalah mengikut proses undang-undang negara.

"Ya, proses persempadanan yang sedang dijalankan kini dilaksanakan sepenuhnya mengikut undang-undang," katanya ketika menjawab persoalan tersebut.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Sri Dr ‎Irmohizam Ibrahim (BN - Kuala Selangor) yang bertanyakan  adakah proses persempadanan yang sedang dijalankan SPR kini dilaksanakan sepenuhnya dengan mengikut undang-undang.

Azalina ketika menjawab hujah Irmohizam berkata, ‎urusan kajian yang dilaksanakan SPR  adalah berlandaskan kepada prinsip-prinsip dan tatacara persempadanan berdasarkan bidang kuasa SPR yang diperuntukkan di bawah Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan dan di bawah Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan.

"Untuk makluman Yang Berhormat lagi, proses persempadanan tersebut masih berjalan dan hendaklah diteruskan seperti mana yang dinyatakan di bawah Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan dan hendaklah ditamatkan dalam tempoh dua tahun," katanya.

Sementara itu menjawab soalan tambahan Irmohizam yang ‎mahu penjelasan lanjut mengenai dakwaan bahawa SPR dijadikan kuda tunggangan, Azalina berkata 'isu itu sengaja dimainkan oleh pembangkang'.

"Untuk makluman Yang Berhormat, bagi segelintir pihak, khususnya untuk pihak pembangkang, semua yang dilaksanakan oleh SPR adalah dengan bermotifkan politik.

"Kita semua tahu, pembangkang mengamalkan prinsip double standard dalam menilai SPR. Kalau mereka menang, SPR dikatakan telus dan ikut undang-undang, kalau mereka kalah SPR dituduh bermotif politik dan jadi kuda tunggangan BN," katanya lagi.

Mengulas lanjut Azalina berkata, bagi proses urusan Kajian Semula Persempadanan yang dilakukan, tempoh satu bulan telah ditetapkan bagi pihak-pihak yang telah terkesan untuk membuat bantahan kepada SPR bermula 15 September 2016 – 14 Oktober 2016.

"Dalam proses tersebut, segala bantahan yang diterima akan dipertimbangkan oleh SPR berdasarkan kepada prinsip-prinsip persempadanan yang telah saya nyatakan tadi," katanya.

Tambah Azalina, SPR juga mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan tempatan seperti mana yang diperuntukkan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 semasa mengendalikan siasatan tempatan selaras dengan peruntukan Seksyen 6, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan.

"Iaitu  yang bertujuan untuk membolehkan SPR berjumpa dengan pembantah bagi mendapatkan penjelasan yang lebih terperinci mengenai bantahan-bantahan yang dikemukakan," katanya.

Ujarnya lagi sekiranya, tindakan SPR didapati adalah bertentangan dengan prinsip-prinsip persempadanan, pihak-pihak yang berkaitan berpeluang untuk membuat cadangan untuk pertimbangan SPR.

"Bantahan dan pertimbangan ini tidak dikhususkan kepada mana-mana parti politik atau pihak Kerajaan kerana di bawah Perlembagaan Persekutuan, pihak-pihak yang terkesan diberi hak untuk membuat bantahan.

"Sekiranya SPR dilihat sebagai berpihak kepada Kerajaan, maka undang-undang tidak akan membenarkan syor tersebut dibantah oleh mana-mana pihak," katanya.

Terdahulu, SPR menafikan dakwaan pihak tertentu yang mengatakan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah dibuat untuk kepentingan pihak tertentu.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, SPR menjalankan peranan dan tanggungjawab sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan kuasa untuk melulus syor-syor tersebut terletak di bawah bidang kuasa Dewan Rakyat dan setiap Anggota Parlimen boleh membahaskannya di Dewan Rakyat kelak.

SPR melaksanakan Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dun bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah bermula 15 September lalu.

Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger