Mangsa tidak sangka gelombang kedua banjir muncul
Written By aku on Saturday 21 January 2017 | 10:12 pm
BESUT - Banjir gelombang kedua yang melanda Terengganu sememangnya sesuatu yang di luar jangkaan kebanyakan mangsa kerana sejak dua minggu lalu cuaca sudah kembali panas.
Safura Mat Suri, 44, dari Kampung Tembila di sini berkata, beliau tidak menyangka banjir akan melanda di sekitar daerah tersebut untuk kali kedua tahun ini berikutan keadaan cuaca yang tampak kembali normal.
"Dok seke banjir mari pulok kali ni, ingat dok banjir doh (Tak sangka banjir lagi sekali, ingat dah tak banjir). Masa gelombang pertama, kampung kami dok (tak) banjir teruk...tak da pun yang pindah. Tapi kali ni, giliran kami pulak yang pindah.
"Memang kami tak sangka banjir kali ni akan berlaku sebab cuaca panas terik sejak dua minggu lalu...ini pun hujan dok (tak) lama sangat, baru dua hari hujan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama di Pusat Pemindahan Banjir Sekolah Kebangsaan Tembila di sini hari ini.
Safura yang berpindah ke pusat itu bersama lima ahli keluarganya berkata beliau sempat mengalihkan barangan berharga dan perabot di rumahnya ke tempat selamat sebelum dipindahkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat ke pusat pemindahan tersebut.
"Air naik pukul 4 pagi...memang cepat air naik, sekitar pukul 7 pagi air di kawasan rumah saya dah naik hingga paras leher. Mujurlah bomba datang untuk pindahkan kami sekeluarga," katanya.
Seorang warga emas, Staja Ahmad, 69, dari Kampung Guntong, Tembila berkata beliau terpaksa mengharungi air banjir paras lutut dari rumahnya ke jalan besar kira-kira 200 meter setelah kediamannya dinaiki air.
"Mak cik sakit kaki...lutut pun sakit-sakit tapi kena redah juga air banjir untuk selamatkan diri.
"Terpaksa harung air dari rumah ke jalan besar, kemudian cucu yang ambil dengan kereta untuk ke pusat pemindahan," katanya. - Bernama
Labels:
Info Banjir,
Semasa