Tindakan nekad bawa padah
Written By aku on Wednesday 18 January 2017 | 12:56 pm
HULU BESUT - Seorang lelaki nekad terjun ke Sungai Besut di Kampung Bekok, dekat Bukit Payong di sini bagi mengelak diberkas polis dalam kejadian jam 5.20 petang, semalam.
Bagaimanapun tindakan lelaki berusia 28 tahun dari Kampung Apal itu berakhir dengan tragedi apabila dia ditemui mati lemas kira-kira jam 9.50 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, sebelum itu lelaki berkenaan telah melarikan diri dari pemeriksaan polis menyebabkan berlaku kejar mengejar antara suspek yang memandu kereta Perodua Axia dengan dua anggota polis daripada cawangan kereta peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Besut.
Menurutnya, mangsa kemudian berhenti kereta di tepi jalan dan terus lari ke dalam semak di tepi sungai tersebut dengan diekori polis.
“Selepas kira-kira 500 meter melarikan diri, tiba-tiba mangsa menghala ke tepi sungai dan terus terjun ke dalam sungai tersebut kemudian cuba berenang ke tengah sungai.
“Anggota polis memanggil mangsa supaya berpatah balik kerana keadaam sungai itu lebar (luas) dan air dalam. Mangsa kemudian berpatah balik namun kira-kira 50 meter sebelum sampai ke tebing, dia terus tenggelam,” katanya.
Mohd Zamri berkata, gerakan mencari dan menyelamat mangsa dijalankan sebelum dihentikan jam 7 malam kerana keadaan cuaca gelap.
Bagaimanapun pada jam 9.30 malam dengan bantuan beberapa penduduk kampung yang tahu tentang selok belok sungai tersebut bersama anggota polis dan bomba meneruskan usaha mencari mangsa dan berjaya menemui mangsa tidak lama kemudian berdekatan tempat mangsa lemas.
Kata beliau, mayat mangsa dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasatan dan punca kematian kerana lemas dan tiada unsur jenayah.
“Pemeriksaan lanjut di dalam kereta Axia yang dipandu mangsa menemui sebanyak enam plastik biru yang mengandungi 1,200 bijil pil kemerahan dipercayai dadah jenis pil kuda dan sembilan tiub ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 jika sabit kesalahan booleh dihukum gantung mandatori.
“Kereta yang didaftar atas nama adik mangsa turut dirampas untuk siasatan lanjut dan semakan polis juga mendapati mangsa mempunyai dua rekod kesalahan berkait dengan dadah dan satu rekod jenayah,” katanya.
Labels:
Jenayah