Adik usia 2 tahun lihat abang tergantung
Written By aku on Sunday, 15 December 2013 | 4:11 pm
MARAN - Seorang ibu yang sedang menikmati makan malam tidak menyangka rengekan anak bongsu berusia dua tahun rupa-rupanya ingin memberitahu melihat abangnya tergantung di ruang tamu rumah mereka di Kampung Luit, dekat sini.
Percakapan pelat anak kecil itu dengan isyarat tangan di leher pada mulanya tidak diendahkan, namun diulangi beberapa kali sehingga menarik perhatian ibunya.
Menurut ibu berusia lingkungan 40-an itu, anak sulungnya yang baharu pulang dari rumah rakannya kira-kira jam 9.45 malam memberitahu mahu menghubungi isterinya di Kuala Lumpur.
Katanya, lalu dia mengizinkan anaknya menggunakan telefon bimbitnya bagi tujuan tersebut.
“Mereka baru enam bulan berkahwin dan kebetulan isterinya sekarang berada di Kuala Lumpur. Ketika mereka berbual melalui telefon, mereka bertengkar.
“Dia kemudian memberi telefon kepada saya dan suruh saya dengar sendiri apa yang diperkatakan isterinya sebelum beredar ke ruang tamu,” katanya.
Bagaimanapun, talian telefon tersebut diputuskan oleh isteri si mati sebaik mengetahui ibu mertuanya berada di talian.
Tidak lama kemudian, anak bongsunya berusia dua tahun itu yang dipercayai mengikut si mati ke ruang tamu kembali ke dapur.
“Dia datang ke arah saya dan cakap ‘ma, abang-abang’ dengan tangan tunjuk di leher tetapi saya tidak mengendahkan.
“Apabila banyak kali dia ulang dan merengek-rengek, lalu saya ikut ke ruang tamu sebelum terkejut melihat jasad anak sulung saya tergantung dengan tali di leher. Hanya jeritan terkejut mampu keluar dari mulut saya,” katanya.
Seorang saudara yang berada di rumahnya bertindak menurunkan anaknya itu yang sudah nyawa-nyawa ikan, namun tidak lama kemudian anaknya menghembuskan nafas terakhir.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintedan Sulaiman A Hamid mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan sedang dilakukan.
Mayat si mati dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.
--Sinarharian
Labels:
Semasa