MB Terengganu umum jambatan baharu
Written By aku on Sunday, 15 December 2013 | 4:32 pm
HULU TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu akan membina sebuah jambatan baharu yang menghubungkan Kampung Dusun dengan Kampung Dura di sini untuk ke pekan Kuala Berang, tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, jambatan yang menelan belanja RM70 juta itu dijangka mula dibina pada suku pertama tahun depan.
"Dengan adanya kemudahan jambatan itu, orang ramai dapat memendekkan jarak perjalanan daripada 18 kilometer kepada 1.8 kilometer untuk ke Pekan Kuala Berang.
"Apabila siap jambatan itu nanti, pelbagai pembangunan dapat dijalankan seperti menaik taraf ekonomi penduduk serta dapat menjimatkan kos pengangkutan.
"Pembinaan jambatan itu sangat bertepatan kerana tahun depan akan diadakan Festival Kenyir selama sebulan bermula April sehingga Mei bagi memperkenalkan tasik itu kepada dunia luar," katanya pada majlis berkhatan dan bertindik serta menyampaikan hadiah kecemerlangan di Sekolah Kebangsaan Dura di sini.
Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Telemong, Rozi Mamat berkata, program itu merupakan program tradisi yang lama dipraktikkan di kawasan itu setiap tahun semasa musim cuti sekolah.
Katanya program itu bertujuan meringankan beban ibu bapa yang berpendapatan rendah dan dengan inisiatif kerajaan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban penduduk dan mengurangkan trauma penduduk yang terlibat dengan banjir. - Bernama
Labels:
Semasa