Home » » Cerai dek kahwin ‘mi segera’

Cerai dek kahwin ‘mi segera’

Written By aku on Monday 23 December 2013 | 10:01 am


Bangi: Institusi kekeluargaan Islam di Malaysia masih belum mencapai tahap kerapuhan teruk meskipun kadar perceraian dilapor meningkat dengan purata dua ke tiga perceraian pada setiap jam.

Ini kerana menurut Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal, masyarakat Islam tempatan masih mempercayai hubungan suami isteri yang dijalin secara sah menerusi perkahwinan.
“Kalau rujuk statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) walaupun perceraian meningkat sehingga tahun ini tetapi, sejak 2007 kira-kira 15 perkahwinan berlaku setiap jam.

“Ini menunjukkan masyarakat masih percaya kepada ikatan yang sah dan institusi kekeluargaan, cuma cabaran dan masalah yang membelenggu institusi itu menyebabkan ia tak dapat berdiri dengan kukuh.

“Pasangan terutama generasi muda tidak memiliki skil keibubapaan yang berpegang pada nilai Islam sebenar yang sebabkan mereka mudah melatah, selain lambakan perkahwinan ‘mi segera’ yang turut menjadi punca,” katanya kepada Harian Metro, di sini baru-baru ini.

Perkahwinan ‘mi segera’ menurut Noor Aziah punca utama perceraian dan ia disebabkan pasangan yang mengenali pasangan dalam tempoh singkat, bercinta terlalu lama dan berkahwin kerana sudah terlanjur serta si perempuan mengandung.

Beliau yang juga Pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, pelbagai usaha perlu dilaksana secara proaktif untuk membimbing pasangan suami isteri.

“Tugas ini memerlukan kerjasama semua pihak, namun bagi MPWIM di bawah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) sentiasa menganjur program kekeluargaan untuk manfaat semua.

“Antaranya termasuk penganjuran Majlis Penganugerahan Keluarga Mithali 2014 yang penyertaannya sudah dibuka dan akan berakhir 31 Disember ini,” katanya.

Katanya, empat kategori dipertandingkan iaitu Keluarga Mithali, Bapa Mithali, Ibu Mithali dan Pewaris Harapan dengan semua pemenang akan dijadikan contoh bagi keluarga Islam dalam negara.

Menurutnya, setiap pencalonan dinilai berdasarkan kriteria utama termasuk mengikut lunas Islam dan penyertaannya terbuka kepada semua.

“Anugerah ini juga inspirasi daripada Anugerah Ibu Mithali yang sudah diadakan sebanyak 10 kali sejak 1980 lagi.


Cuma kali ini ditambah baik bagi mencapai objektifnya mengiktiraf keluarga yang boleh menjadi contoh masyarakat,” katanya.
--Hmetro
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger