Fenomena air pasang besar
Written By aku on Saturday, 7 December 2013 | 2:10 pm
KUALA TERENGGANU - “Sebaik selesai menunaikan solat Isyak, saya turun ke dapur untuk makan malam, namun belum sempat berbuat demikian, anak saya beritahu kawasan dapur sudah dipenuhi air,” demikian kata Che Ku Soni Abu Bakar, 76.
Che Ku Soni antara tiga keluarga yang terlibat dalam misi menyelamat oleh Skuad Cakna Komuniti Daerah Kuala Terengganu, Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Baru Seberang Takir, di sini, semalam.
Menurut ibu tunggal itu, sebaik menyedari air sudah memasuki rumahnya, dia segera mengemas barangan berharga termasuk dokumen penting dan pakaian.
“Sebelum ini, kami memang dah biasa dengan fenomena air pasang sebab rumah dekat dengan sungai, tapi tak sangka pula air naik mendadak. Kali ini memang lebih teruk.
“Syukurlah saya sekeluarga diselamatkan dan buat sementara waktu ini, kami tinggal di rumah saudara yang berdekatan,” katanya yang uzur kerana sakit tua.
Buat persediaan awal
Seorang lagi mangsa, Jara Mat Chik, 57, berkata, dia sudah menghadapi fenomena air pasang besar sejak berpuluh tahun lalu dan atas sebab itulah dia sekeluarga sentiasa bersiap sedia setiap kali tibanya musim tengkujuh.
Bagaimanapun dia mengakui tahun ini agak berbeza kerana air pasang lebih besar berbanding biasa.
"Namun syukur saya telah mengambil langkah awal dengan meletakkan barang-barang membuat keropok di tempat lebih tinggi,” katanya.
Jara adalah pengusaha keropok keping yang sudah hampir 40 tahun terlibat dalam industri utama di perkampungan nelayan itu.
Menurutnya, disebabkan keadaan cuaca tidak menentu sekarang ini, dia terpaksa menghentikan operasi sejak lebih seminggu lalu.
“Musim tengkujuh adalah waktu rehat kami memandangkan kami mencari rezeki bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya.
Dia dalam pada itu terharu dengan tindakan badan sukarela SRS yang membantu keluarganya mengangkat barangan setelah rumah mereka dinaiki air.
50 anggota sukarela terlibat
Sementara itu, Pengerusi Skuad Cakna Komuniti Daerah Kuala Terengganu, Che Ku Izan Che Ku Mansor berkata, kerja-kerja membantu mangsa banjir itu pertama kali diadakan.
Katanya, kawasan Lembah Mutiara di Kampung Baru Seberang Takir adalah lokasi pertama yang terlibat dalam misi menyelamat tersebut.
"Seramai 50 anggota membantu mengangkat pelbagai peralatan rumah ke tempat yang selamat.
“Kebanyakan ahli kita terdiri daripada mereka yang mempunyai kepakaran masing-masing iaitu dari Rela, Kementerian Kesihatan dan sebagainya,” katanya.
Justeru beliau memuji kerjasama semua pihak kerana melancarkan proses pemindahan mangsa banjir walaupun baru pertama kali.
Kata Che Ku Izan, pasukannya sentiasa bersiap sedia untuk membantu mana-mana mangsa banjir di tempat lain, di mana pemantauan dibuat melalui talian radio amatur.
Sementara itu, sehingga semalam, masih belum ada pusat pemindahan banjir dibuka melibatkan penduduk di kawasan berkenaan kerana kebanyakan penghuni rumah yang dinaiki air memilih untuk berpindah ke rumah saudara-mara.
--Sinar
Labels:
INFO BANJIR TERKINI,
Semasa